Kanak-kanak maut terjerut tali bidai

JENAZAH bayi Muhammad Azhari Zul Azri, satu tahun lapan bulan yang mati terjerut tali bidai di rumahnya di Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. – Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan maut dipercayai terjerut tali bidai tingkap di rumahnya di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), di sini, semalam.

Muhammad Azhari Zul Azri disedari terjerut tali itu oleh ibunya, Noryasmin Mat Yasin, 36, jam 6.50 petang.

Sebelum kejadian, kanak-kanak itu dikatakan bermain bersama kembarnya ketika Noryasmin sedang solat Asar di dalam bilik, manakala abang dan kakaknya berusia tiga hingga empat tahun berada tidak jauh daripada mangsa.

Mangsa dikatakan bermain di atas sofa bersebelahan bidai itu sebelum dipercayai terjatuh dan lehernya terjerut tali bidai.

Sebaik selesai mengerjakan solat, ibunya terkejut mendapati Muhammad Azhari tidak sedarkan diri dan segera menghubungi suaminya, Zul Azri Hashim, 39.

Zul yang bekerja sebagai penyelia projek bergegas pulang ke rumah dan menghantar anak mereka ke Klinik Kesihatan AMBS untuk rawatan segera.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi berkata, pegawai perubatan klinik kesihatan itu mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan.

“Mayat kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun, kira-kira jam 11 malam untuk dibedah siasat, pagi ini,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.