Kim Swee pening 2 tugasan bertembung

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 tahun negara (B-23) bakal berdepan ‘malapetaka’ dahsyat apabila berkemungkinan terpaksa menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang yang akan berlangsung bulan hadapan andai terus dibelengu kekusutan isu pelepasan pemain untuk kempen Piala Malaysia.

Situasi itu diakui jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee yang tidak menolak kemungkinan pemainnya perlu menarik diri daripada kejohanan terbabit jika beliau gagal untuk mengumpulkan pemain yang cukup untuk mengharungi kejohanan terbabit.

Malah, Kim Swee jelas tidak mempunyai perancangan lain sekiranya beberapa pasukan tetap berkeras enggan melepaskan pemain yang dipanggil berikutan aksi di Sukan Asia itu bertembung dengan aksi Piala Malaysia.

“Kita kena faham di sini apabila saya menyenaraikan 24 pemain untuk dipanggil dan enam pemain dalam senarai sedia, hanya daripada 30 pemain ini sahaja yang saya boleh panggil.

“Jika kita tidak mempunyai cukup pemain kerana mengikut peraturan, sekurang-kurangnya 18 pemain dibenarkan secara minimum untuk ke Sukan Asia.

“Jadi kalau kita tidak dapat mengumpulkan 18 pemain, ia bermakna kita harus menarik diri daripada kejohanan itu,” katanya ketika ditemui pada Sesi Dialog Presiden FAM dan EXCO bersama penyokong bola sepak negara di ibu negara, hari ini.

Justeru, Kim Swee mengharapkan kerjasama daripada semua pasukan supaya dapat memberi pelepasan kepada pemain yang dipilih sambil menegaskan aksi bersama skuad negara adalah lebih mustahak.

“Saya harap semua pasukan memberi kerjasama dan yang penting adalah ia untuk kepentingan negara.

“Saya faham saingan Sukan Asia berlangsung serentak dengan Piala Malaysia namun ia hanya membabitkan beberapa perlawanan. Saya lihat tanpa beberapa pemain pun, semua pasukan masih mampu memberikan saingan cukup sengit,” katanya.

Terdahulu, apa yang dibimbangkan Kim Swee mungkin berulang apabila beliau dijangka berdepan masalah mendapatkan pemain terbaik mengharungi kempen Sukan Asia di Indonesia bulan depan.

Meskipun senarai 24 pemain sudah diumumkan Rabu lalu bagi mengikuti latihan pusat bermula pada 30 Julai ini, namun tiada jaminan pemain berkenaan akan mendapat pelepasan dari pasukan masing-masing.

Ini berikutan pertembungan saingan Sukan Asia dengan Piala Malaysia yang turut akan bermula pada awal Ogos ini.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.