Mayat anggota tentera beku ditemui selepas setengah abad

SHIMLA:Mayat seorang anggota tentera India yang beku ditemui di sekitar kawasan glasier di banjaran Himalaya oleh sekumpulan pendaki gunung, 50 tahun selepas dia dan lebih 100 anggota lagi terbunuh dalam nahas pesawat.

Pasukan mendaki itu turut menjumpai beberapa cebisan bangkai pesawat Antonov An-12 buatan Kesatuan Soviet milik Tentera Udara India yang terhempas pada Februari 1968.

“Kami terjumpa tangan dari mayat manusia yang terjuntai keluar dari ais. Bahagian tubuh lain dapat dilihat di dalam bongkah ais itu,” kata ketua ekspedisi, Rajiv Rawat kepada AFP.

Rawat berkata, mereka telah menghubungi pasukan tentera yang kemudiannya melancarkan operasi mengeluarkan mayat itu.

Mayat anggota terbabit ditemui pada ketinggian 5,500 meter di banjaran Himalaya, India dan yang kelima ditemui dari nahas berkenaan selepas beberapa siri pencarian gagal memberikan hasil sejak berpuluh tahun lalu.

Mayat terakhir ditemui dan dikenal pasti sebelum ini adalah pada tahun 2013.

Nahas pesawat pengangkut itu mengorbankan 102 nyawa, termasuk 98 anggota tentera.

Pesawat terbabit sedang dalam perjalanan ke Kashmir namun gagal mendarat berikutan cuaca buruk dan terputus hubungan dengan lembah Spiti di utara India. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.