Bantahan ke atas kilang Lynas untuk jatuhkan kerajaan

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bantahan oleh beberapa pihak mengenai pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi milik Lynas Corp. Ltd. di Gebeng, Pahang lebih bersifat politik bagi menjatuhkan kerajaan.

Katanya, sungguhpun banyak kajian telah dilakukan terhadap tapak pembinaan kilang tersebut termasuk oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang tidak menemui sebarang bahaya radiasi di situ, bantahan oleh penggiat politik dan pencinta alam sekitar tidak tulen akan berterusan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan serta pihak pengendali kilang tersebut perlu berhati-hati dengan semua kebarangkalian pencemaran radioaktif.

“Namun kita tidak boleh membiarkan aktivis politik serta para pencinta alam sekitar palsu menghalang kita menikmati hasil ekonomi daripada nadir bumi menerusi cerita-cerita menakutkan yang tidak berasas.

“Walaupun saya masih tidak menyokong pembinaan loji nuklear, saya tidak membantah projek Lynas. Kerajaan tidak perlu takut untuk membenarkan projek itu diteruskan,” katanya dalam http://chedet.cc hari ini.

Kebelakangan ini, pihak pembangkang terutama Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berterusan membuat kenyataan negatif ke atas projek Lynas sehingga memaksa Pergerakan Pemuda UMNO Indera Mahkota di Kuantan membuat laporan polis ke atas wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Bagaimanapun, pakatan pembangkang yang giat menjalankan kempen anti-Lynas menerima tamparan hebat apabila Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat dari Pas muncul dalam program berita dalam salah satu televisyen swasta bulan lalu dengan mengatakan beliau telah lama bersabar dengan pakatan pembangkang mengenai penipuan dalam hal kilang Lynas.

Che Rusli juga mendedahkan pada masa itu beliau tidak dapat bersabar dengan tindakan Lajnah Penerangan Pas Pusat yang melarangnya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan tentang nuklear terutama mengenai Lynas.

Selain Che Rusli, rakannya, Prof. Ahmad Tarmizi Ramli yang turut muncul dalam slot berita itu juga mempertahankan pembinaan dan peroperasian kilang Lynas dibenarkan di negara ini kerana ia didapati memenuhi segala aspek keselamatan.

Sumber Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.