Malaysia tetap sokong kedudukan Palestin

NEW YORK 22 Sept. – Malaysia tetap dengan pendirian konsistennya menyokong keahlian penuh Palestin sebagai negara ke-194 Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat semasa Perhimpunan Agung ke-66 badan dunia itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memberitahu Bernama di sini hari ini bahawa pendirian Malaysia itu telah disuarakan secara konsisten melalui forum-forum antarabangsa yang disertai dan juga yang dianjurkan oleh Malaysia.

“Sudah sampai masanya bagi Palestin menjadi sebuah negara yang bebas dan berdaulat di dunia ini dan pendirian kita tidak pernah berubah. Sekiranya Palestin mengemukakan permohonan mereka pada perhimpunan agung PBB, Malaysia akan menyokong sepenuhnya,” katanya.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas dijadual berucap dan mengemukakan permohonan Palestin untuk menyertai badan dunia itu Jumaat ini.

Selain Malaysia, negara lain yang telahpun menyatakan pendirian mereka semasa berucap pada persidangan badan dunia itu hari ini ialah Brazil, Lubnan, Jordan, Qatar dan Argentina. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.