Caexpo 2011 dirasmikan bersama oleh Najib, Wen Jiabao

NANNING (China) 21 Okt. – Edisi kelapan Ekspo China-ASEAN (Caexpo 2011) bermula hari ini dan dirasmikan bersama oleh Perdana Menteri China, Wen Jiabao dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang tiba semalam.

Ekspo itu yang merupakan pameran perdagangan terbesar di China, diadakan setiap tahun di bandar raya hijau ini, yang dianggap sebagai platform berkesan dalam mempromosikan kerjasama antara China dan ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

“ Penyertaan Malaysia tahun ini adalah yang terbesar sejak pelancaran Caexpo pada 2004. Ia penting dan istimewa memandangkan Malaysia ialah Negara Kehormat,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, Caexpo memain peranan penting dalam mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala antara China dan Malaysia yang merupakan platform rantaian strategik.

“Ia berperanan sebagai platform yang ideal untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan ke pasaran China yang besar dan pasaran ASEAN.

“Gabungan pasaran yang mempunyai 1.9 bilion penduduk ini merupakan pasaran terbesar dunia dan pasaran ini semakin menonjol hasil pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas AsEAN-China pada 1 Januari, 2010, yang mengurangkan tarif dan halangan perdagangan antara China dan negara anggota ASEAN,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.