Martabatkan Bahasa Malaysia Belum Sampai Tahap Bersungguh

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) — Tiada pihak yang menyuarakan bantahan terhadap usaha memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan, namun tidak banyak juga pihak yang memperlihatkan kesungguhan dalam usaha itu.

Suatu ketika dahulu papan-papan tanda perniagaan didapati sangat mematuhi peraturan tulisan dalam Bahasa Kebangsaan yang bukan saja mesti ada tetapi wajib lebih besar daripada tulisan dalam bahasa-bahasa lain.

Sekitar akhir tahun 1980an itu juga pihak berkuasa tempatan begitu gigih menguatkuasakan peraturan berkaitan papan tanda terutama aspek penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul.

Pencinta Bahasa Kebangsaan dan penyair, Dr Ibrahim Ghafar, berkata bahawa ketika itu tidak terlihat lagi papan-papan tanda yang boleh disalah ertikan maksudnya seperti ‘Kedai Menjahit Wanita’ dan ‘Kedai Samy Makan Roti Canai’.

“Kini Bahasa Kebangsaan malah tidak lagi terpampang di banyak papan tanda terutama projek-projek perumahan dan keadaan itu bagaikan dibiar berterusan seperti tiada lagi pihak yang menguatkuasakan peraturan berkaitan dengannya,” kata beliau kepada Bernama.

Apakah ini benar?

Mengambil contoh kedai makan, sebuah restoran di Stesen KL Sentral memaparkan bukan saja namanya malah menu hidangan makanan dan minuman dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.

Apabila ditanya kepada seorang pekerjanya sama ada penggunaan bahasa Inggeris itu untuk manfaat pelanggannya, yang penulis sangka banyak daripada kalangan orang asing, jawapan yang diberikan agak mengejutkan kerana kebanyakan pelanggannya adalah rakyat tempatan.

Jadi untuk siapa sebenarnya penggunaan bahasa Inggeris dalam konteks restoran ini sehingga Bahasa Kebangsaan dipinggir?

Ibrahim berkata penggunaan bahasa Inggeris untuk tujuan strategi perniagaan sama ada di restoran mahupun projek perumahan dan perniagaan boleh diterima tetapi haruslah digandingkan dengan Bahasa Kebangsaan yang saiz hurufnya mestilah lebih besar di paparan.

“Bagaimanapun kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan pengusaha itu kerana mungkin mereka tidak tahu istilah Bahasa Kebangsaan yang betul untuk digunakan,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa tempatan membantu menyediakan unit atau pegawai yang boleh dijadikan tempat rujukan.

Anggota Parlimen Hulu Selangor, P.Kamalanathan, seorang pencinta Bahasa Kebangsaan, mengakui belum begitu gembira dengan tahap penggunaan Bahasa Malaysia daripada beberapa segi.

“Kita harus tengok cara untuk memperkasakan Bahasa Malaysia dengan menggunakan bahasa yang asal yang bukan yang diserap atau diambil daripada bahasa Inggeris. Contohnya, papan iklan bertulis kedai ‘sistem telekomunikasi’, yang terdapat di merata-rata sekarang,” katanya.

Beliau berpendapat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sudah berusaha menjalankan tanggungjawabnya tetapi belum mencukupi, harus bekerja lebih keras untuk menerbitkan istilah-istilah lazim dalam Bahasa Kebangsaan untuk paparan papan iklan supaya Bahasa Kebangsaan dilihat setanding bahasa antarabangsa.

“Satu segi lagi dalam usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan yang sangat penting ialah memastikan pengajaran dan pembelajarannya menarik supaya pelajar memintainya bukan saja untuk lulus peperiksaan,” kata wakil rakyat Barisan Nasional itu yang berterima kasih kepada guru Bahasa Malaysia beliau yang pandai memupuk minat murid.

“Saya berketurunan India tetapi sejak kecil berminat bertutur dalam Bahasa Kebangsaan yang betul. Semuanya kerana cikgu yang mengajar saya telah memberi saya perangsang dan cara dia mengajar telah membantu saya meminati Bahasa Malaysia,” katanya.

Dalam era transformasi menuju negara maju pada tahun 2020, kepentingan bahasa Inggeris tidak boleh dinafikan malah penguasaannya perlu digalakkan dalam kalangan rakyat tetapi akan lebih bermakna status negara maju itu jika Bahasa Kebangsaan turut dimartabatkan dan dibanggakan oleh segenap lapisan rakyat.

Bagi pelajar, Mohamed Azrul Hafiz Samsuddin, 21, media massa perlu meningkatkan peranan menggalakkan penggunaan Bahasa Malaysia yang betul kerana media massa terutama akhbar boleh dikatakan dibaca segenap lapisan masyarakat setiap hari.

Ketika generasi muda, malah golongan dewasa juga, saban hari terbiasa menggunakan bahasa yang diringkaskan seperti dalam SMS, beliau khuatir lama kelamaan ejaan dan nahu Bahasa Kebangsaan yang betul akan terhakis sedikit demi sedikit.

Mohamed Azrul Hafiz, pelajar semester kedua Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, berkata penggunaan bahasa ringkas secara berleluasa membuatkan golongan muda mungkin percaya penggunaannya betul sedangkan ianya salah.

Beliau meminta semua pihak yang jujur mahu memartabatkan Bahasa Kebangsaan supaya berusaha sebaik mungkin menggunakan baik istilah atau nama dalam Bahasa Kebangsaan, sambil memberi contoh kenapa harus pakai ‘Proton City’ kalau “Bandar Raya Proton” juga dapat difahami ramai.

Penulis sendiri pernah diberi pesanan oleh seorang penyunting supaya menggunakan Bahasa Malaysia selagi ada istilah yang boleh digunakan dan jangan mengambil jalan mudah memakai istilah dalam bahasa Inggeris.

Yang menariknya ialah penyunting yang berpesan kepada penulis itu bukanlah seorang yang berbangsa Melayu tetapi berketurunan India yang berusaha untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan dalam penulisan berita dan rencana pada setiap masa.

Beliau bukan bersendirian dalam usaha itu kerana langkah memartabatkan Bahasa Kebangsaan sebenarnya sudah mula bertapak dengan wujudnya pelbagai Kursi Pengajian Melayu di banyak universiti terkemuka di dunia atas inisiatif kerajaan.

Terdapat tokoh-tokoh asing yang fasih berbahasa Malaysia dan mahir mengenai sejarah dan selok belok Bahasa Malaysia serta para pelajar asing dalam bidang pengajian Melayu yang sudah berani tampil berdebat dan bersyarah dalam Bahasa Kebangsaan.

Namun, usaha di dalam negara sendiri juga perlu diteruskan, diperhebat, dipertingkat dan dipergiatkan lagi dengan setiap rakyat Malaysia mengutamakan penggunaan Bahasa Kebangsaan pada setiap masa dan dalam apa juga urusan.

Orang asing tidak akan memandang tinggi terhadap Bahasa Malaysia dan tidak berminat mempelajarinya jika mereka melihat rakyat Malaysia sendiri bersikap acuh tak acuh terhadap Bahasa Kebangsaan dan usaha memartabatkannya hanya sekadar sehelai gantungan kain mengajak orang ramai ‘Martabatkan Bahasa Kebangsaan’.

— BERNAMA

One thought on “Martabatkan Bahasa Malaysia Belum Sampai Tahap Bersungguh

  • 22/10/2011 at 10:34 pm
    Permalink

    Contohilah negara indonesia yang menggunakan bahasa kebangsaanya tak kira agama dan bangsa penduduknya… sangat menyakitkan hati bila ada cina yang lahir di malaysia tapi nk cakap bahasa malaysia pun tak boleh… sepatutnya jika interview kerja penggunaan melaysia di wajibkan jika tidak fasih seharusnya tidak diterima bekerja. selain penggunaan bahasa inggeris sebagai bhasa kedua .

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.