MoU Hawtai Motor: Proton kembang operasi di China

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Proton Holdings Bhd hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Hawtai Motor Group Ltd untuk mengembangkan operasinya di China dengan meneroka kerjasama dalam pembangunan produk.

Proton dalam satu kenyataan berkata, di bawah MoU itu, kedua-dua pihak akan menilai kemungkinan menubuhkan syarikat usaha sama di China untuk melabur dalam pembangunan produk bagi bersama-sama membangunkan model baharu menerusi reka bentuk bersama dan perkongsian kos pembangunan.

Ia berkata, kedua-dua syarikat akan menghabiskan masa tiga bulan akan datang memuktamadkan kaji selidik mereka bagi kes perniagaan itu.

MoU tersebut dimeterai antara Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Mohamed Tahir dan Presiden Eksekutif Hawtai, Hou Haijing.

Ia disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh; serta pegawai tinggi kerajaan China.

“Sebagai sebahagian daripada fasa awal selepas penubuhan syarikat usaha sama itu, Proton akan memberi lesen model terkininya kepada Hawtai, untuk dikeluarkan di kilangnya di China bagi jualan di pasaran domestik China di bawah jenama Hawtai, dengan kemungkinan dinamakan bersama Proton,” jelas syarikat itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.