Syor Hari Pahlawan libatkan pesara polis

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Tiga persatuan pesara dan bekas polis mencadangkan acara sambutan tahunan Hari Pahlawan bagi memperingati jasa dan pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut melibatkan pesara dan bekas polis.

Tiga persatuan itu ialah Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) dan Persatuan Veteran 69 Komando.

Menurut Presiden PBPM, Shafie Bakri, ia bagi menghargai pengorbanan pesara dan bekas polis terutama yang berkhidmat pada zaman darurat.

“Pada zaman darurat, seramai 255 anggota polis berkhidmat selain dua batalion askar Melayu, tiga batalion askar Gurkha dan lima batalion askar British.

“Lebih 8,000 anggota pasukan keselamatan dan 12,000 orang awam maut pada zaman darurat ketika menentang penjajah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini semalam.

Shafie berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Perhimpunan dan Ramah Mesra PM bersama Pesara dan Bekas Polis di Dewan Tun Abdul Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad ini.

Katanya, cadangan lain termasuk menaik taraf persatuan-persatuan terbabit kepada jabatan supaya mendapat bajet khusus bagi membantu kebajikan ahli, khairat kematian, alat sokongan perubatan, pelajaran dan bencana alam.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.