Tugas Aziz Bari digantung untuk cepatkan siasatan – UIAM

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjelaskan, tindakan menggantung tugas pensyarah undang-undang Profesor Dr Abdul Aziz Bari bukanlah hukuman, sebaliknya bagi memastikan siasatan terperinci dapat dijalankan berikutan kenyataan beliau mempertikai titah Sultan Selangor.

Rektor UIAM, Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin turut menafikan laporan media dan portal berita bahawa Abdul Aziz tidak dibenarkan masuk serta berurusan dengan pihak universiti, dan gajinya turut ditahan.

Beliau berkata, UIAM tetap membayar gaji Abdul Aziz seperti biasa dan pensyarah itu dibenarkan memasuki kawasan universiti untuk berurusan dengan fakulti.

“Saya tahu ada beberapa pihak yang melaporkan di dalam akhbar dan laman web bahawa beliau digantung dan tidak menerima gaji, serta dihalang dari memasuki UIAM. Itu semua tidak benar,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Zaleha berkata, Abdul Aziz digantung selama tujuh hari mulai Rabu lepas, dan dalam tempoh itu, pensyarah berkenaan perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIAM berhubung tindakan mempertikaikan titah Sultan Selangor mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor sebuah gereja di Damansara Utama pada 3 Ogos lepas. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.