Angkat martabat Irama Malaysia

Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Setiap tahun program Muzik Muzik edisi raya cuba menonjolkan kelainan bagi memberikan warna dan hiburan berbeza kepada penonton sempena sambutan Aidilfitri.

Tahun ini, Muzik Muzik 33 Raya yang bakal bersiaran pada 18 Jun ini, jam 11 malam menyuntik eleman Irama Malaysia dalam setiap lagu yang dipersembahkan penyanyi jemputan.

Menariknya, edisi kali ini memberi penghormatan kepada Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris yang turut menyaksikan kerjasama dengan penyanyi baru.

Penerbit Eksekutif, Nurhul Huda Khalid berkata, ini satu kelainan yang jarang diketengahkan dalam program itu, sekali gus mempamerkan kemeriahan program itu.

PENGACARA Muzik Muzik 33 Raya bersama artis jemputan.

“Tahun ini kami memilih konsep Irama Malaysia dan bekerjasama dengan Noraniza. Artis yang dipilih membuat persembahan turut menyanyikan lagu berentak Irama Malaysia.

“Kami mahu program ini nampak meriah dengan konsep ini. Bukan saja lagu, malah turut diserikan dengan penari pengiring. Istimewanya juga, dalam program ini semua penyanyi baru kecuali Noraniza,” katanya.

Menurut Nurhul Huda, konsep ini dipilih bagi memartabatkan Irama Malaysia dalam kalangan penyanyi baru, sekali gus membuka mata banyak pihak bahawa penyanyi baru terbabit sebenarnya boleh menyanyikan irama itu.

SHERRY mengusik kumpulan Floor 88.

“Ramai beranggapan kebanyakan penyanyi baru tidak boleh menyanyikan lagu irama ini. Tanggapan mereka silap kerana mereka boleh menyanyi dengan bagus.

“Mereka ada lenggok irama ini cuma tidak diberi peluang. Jadi, dalam program ini penonton dan peminat boleh melihat bakat sebenar mereka.

“Bukan tidak mahu panggil artis lama lain, tetapi tujuan utama ingin menonjolkan bakat nyanyian penyanyi baru ini,” katanya.

Selain elemen hiburan, Muzik Muzik 33 Raya yang menjalani rakaman di Hotel Marriot Putrajaya tidak ketinggalan menjalankan aktiviti kebajikan dengan kerjasama hotel itu.

Sebanyak lima rumah kebajikan terpilih menerima sumbangan daripada hotel iaitu Persatuan Pertubuhan Islam Buah Hatiku, Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Cornerstone, Baitul Barakah, Rumah Anak Yatim Al Ummah dan Pertubuhan Anak-Anak Warisan Suci Kajang.

ANTARA anak yatim terbabit.

Selain Noraniza, penyanyi lain yang membuat persembahan terdiri daripada Hael Husaini, Haqiem Rusli, Ernie Zakri, Sufian Suhaimi, Ismail Izzani, Wany Hasrita, Shiha Zikir, Mimi Fly, Fee Haiqal, Ihab Ismail dan Elvira Mentor Otai.

Antara lagu yang dipersembahan Rewang Raya, Puasa & Raya, Bersabarlah Sayang, Indahnya Beraya Di Desa, Satu Hari Di Hari Raya, Sesuci Lebaran, Halal Bihalal, Keindahan Aidilfitri dan Nikmat Hari Raya.

Turut hadir memeriahkan rakaman program itu, Hazama, Hafiz Suip, Cik Manggis, Kaka Azraff, Aiman Tino, Farah Hazel dan ramai lagi.

Program ini menampilkan pengacara Sherry Al Hadad dan Haziq Hot FM.

GABUNGAN penyanyi baru memartabatkan irama Malaysia.

Satu penghormatan

Bagi Noraniza, pemilihan konsep Irama Malaysia sebagai konsep persembahan Muzik Muzik 33 Raya sesuatu yang ditunggu selama ini.

Malah, itu kali pertama Noraniza yang popular dengan lagu Dondang Dendang terbabit dalam program itu.

NORANIZA Idris mempersembahkan lagu Rewang Raya.

“Memandangkan mereka memilih irama ini, jadi saya cuba bantu dari segi susunan lagu dan konsep persembahan. Saya bersama pasukan iaitu Malay World Cultural Paradise cuba berikan yang terbaik.

“Saya menggambarkan konsep persembahan balik kampung, kemeriahan dan suasana beraya agar sesuai dengan tema, namun terdapat kekangan dari segi kos. Jadi, kami buat semampu yang boleh.

“Dari segi pemilihan artis, ia ditentukan pihak produksi. Saya ada juga mencadangkan beberapa nama penyanyi sesuai, tetapi tidak berkelapangan seperti Khai Bahar,” katanya.

Sumber:- HMetro 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.