Awan berbentuk topi di Gunung Kinabalu fenomena biasa

KOTA KINABALU: Pembentukan awan lentikular yang menyerupai kanta atau topi yang berlaku di puncak Gunung Kinabalu pagi semalam adalah fenomena biasa yang lazimnya terbentuk di sekitar gunung atau bukit.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Sabah, berkata awan lentikular terbentuk akibat aliran udara lembap yang melalui penghalang seperti pergunungan hingga menyebabkan terjadinya pusaran yang membentuk awan berkenaan.

“Di sekitar kawasan pembentukan awan ini kegeloraan angin agak kuat dan kencang. Lazimnya, keadaan ini berbahaya kepada pesawat yang melalui kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, ini adalah perkara biasa jika ada angin kencang dan ia tidak dikaitkan dengan mana-mana cuaca buruk. Ia seperti awan biasa cuma bentuknya seperti kanta,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Awan lentikular atau `lenticular clouds’ adalah sejenis awan unik yang lazimnya terbentuk di sekitar bukit dan gunung akibat daripada hasil pergerakan udara di kawasan pergunungan.

Awan itu berbentuk seperti piring terbang raksasa atau sesuatu mirip seakan-akan ‘pancake’.

Semalam, pembentukan awan lentikular di Gunung Kinabalu menjadi tumpuan khususnya orang ramai yang berada di sekitar Kundasang dan Pekan Nabalu, selain Kota Belud yang dapat melihat awan itu dengan jelas.

PEMBENTUKAN awan lentikular. – Foto viral media sosial

Ia turut viral di media sosial apabila mendapat perkongsian yang begitu banyak.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Junaydie Sihan, berkata pembentukan awan itu adalah fenomena biasa.

“Orang sini panggil awan itu sebagai sirung nabalu atau sigar nabalu (topi tradisional) berdasarkan bentuknya menyerupai penutup kepala (topi) tradisional masyarakat Kadazandusun.

“Bagaimanapun, bagi penduduk sekitar Kundasang dan Pekan Nabalu, kejadian itu adalah tanda-tanda akan berlaku kemarau,” katanya.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.