KHALID SALLEH meninggal dunia Pusat Perubatan Ampang Puteri hari ini.

Menurut anak bongsunya, Mohd. Asyik, 24, bapanya itu tiba-tiba sesak nafas pagi tadi sebelum dibawa ke hospital tersebut.

“Ibu saya membawa ayah ke hospital pagi tadi selepas dia sesak nafas.

“Ketika ayah menghembuskan nafas terakhir semua berada bersama dia kecuali abang saya yang baru ke tempat kerja,” katanya ketika dihubungi Utusan Online sebentar tadi.

Bagaimanapun ketika ini, Asyik tidak dapat menjelaskan bila dan di mana jenazah ayahnya akan dikebumikan kerana masih dalam keadaan terkejut.

Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik (FFM) 1999 menerusi lakonan hebatnya dalam filem Jogho itu sebelum ini pernah menjadi perhatian apabila gambarnya yang kelihatan uzur tersebar di laman sosial pada awal Januari lalu.

Selain Jogho, Khalid, 70, yang dilahirkan pada 29 Februari 1948 itu turut popular dengan filem-filem antaranya Penghujung Malam, Sayang Salmah, Azizah The Legend, Buai Laju Laju dan Hanyut. – UTUSAN ONLINE