Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zerin Pro­perties, Previndran Singhe berkata, perang dagang AS-China akan memberi kesan ‘spin-off’ kerana Malaysia adalah sebahagian daripada rantaian bekalan bagi China mengakibatkan beberapa syarikat tempatan mengalami waktu sukar terutamanya pada November dan Disember ini.

Katanya, pasaran akan mengalami keletihan dan tidak dapat dibantu tetapi ia akan berlaku dalam tempoh pendek sekurang-kurangnya 12 bulan yang menyebabkan tiada pilihan kecuali negara terpaksa melalui keadaan itu.

“Seperti contoh, pemaju hartanah yang membekukan pelancaran projek bagi menunggu hala tuju lebih cerah daripada kerajaan berpotensi menghadapi isu aliran tunai yang akan mengganggu proses pembayaran hutang mereka.

“Begitu juga dengan pendapatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan terkesan dengan tarif AS-China dan kemudiannya menghadapi masalah membayar pinjaman untuk hartanah mereka,” katanya dalam temu bual bersama dengan EdgeProp.my di sini hari ini.

Jumlah pinjaman tidak berbayar menunjukkan peningkatan sebanyak 6.68 peratus kepada RM25.89 bilion pada Mei 2018, daripada RM24.27 bilion pada akhir 2017.

Pasaran ketika ini mungkin telah mula menunjukkan tanda-tanda peningkatan berikutan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu tetapi masih terlalu awal untuk bergembira.

Mengambil kira situasi mencabar, Previndran mengesyorkan bahawa syarikat perlu menyela­raskan pegangan aset dan membahagikan kepada aset teras dan bukan teras serta mengkaji semula pinjaman mereka.

Bagi syarikat pembangunan hartanah yang mempunyai pelaburan, beliau mencadangkan meletakkannya dalam amanah pelaburan hartanah atau mencari jalan untuk menjana keuntungan daripada aset tersebut.

“Kini merupakan masa yang baik untuk agensi-agensi harta­nah dan firma perunding membuat inovasi untuk memenuhi keperluan syarikat hartanah berkenaan.

“Terdapat banyak peluang bagi firma hartanah. Tetapi ia akan menjadi sukar jika mereka mahu terus menggunakan kaedah tradisional,” katanya.

Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia juga menyatakan pertumbuhan Malaysia dijangka kekal kukuh dalam masa terdekat, walaupun pada kadar lebih sederhana berbanding tahun lalu.

Malaysia masih dibelenggu ketidakpastian yang mana kerajaan yang mengambil alih pentadbiran lebih dua bulan lalu, hanya baru bermula memberi gambaran yang jelas mengenai dasar-dasar ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) baru-bari ini mencadangkan agar rumah mampu milik kuota bumiputera yang tidak terjual dilepaskan ke pasaran terbuka.

Penyelidikan itu turut mendedahkan bahawa kuota bumiputera yang tidak terjual dan tidak dilepaskan ke pasaran terbuka hanya mengakibatkan peningkatan kos pegangan dan keseluruhan kos pembangunan.

Menurut Rehda, ini akan me­ningkatkan harga lot bukan bumiputera berikutan kos bagi seunit rumah telah dilepaskan kepada pembeli.-Utusan Online