Usah naikkan harga rokok

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Para pengeluar rokok yang menganggotai Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) merayu kepada kerajaan supaya mengambil pendekatan sederhana dalam menaikkan cukai tembakau.

British American Tobacco (Malaysia) Bhd. (BATM), JT International Bhd. (JTI Malaysia) dan Philip Morris (M) Sdn. Bhd. berkata, langkah itu membolehkan kerajaan memberi tumpuan dan meningkatkan usaha penguatkuasaan pelaksanaan hukuman penalti dalam penyeludupan rokok.

”Ini kerana, kami berpendapat gejala ini semakin kritikal dan perlu usaha untuk memerangi aktiviti ini di Malaysia.

”Kami akui hak kerajaan untuk menaikkan cukai tembakau sejajar dengan aspek ekonomi dan agenda kesihatan, kami juga percaya tidak sepatutnya kenaikan harga dilaksanakan kerana jumlah penyeludupan rokok meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyataan itu, CMTM berkata, Kajian Penyeludupan Rokok di Malaysia bagi tempoh Mac-Mei 2011 telah meningkat kepada 37.3 peratus berbanding 36.3 peratus secara purata pada 2010.

Peningkatan penyeludupan rokok itu telah mengakibatkan kerajaan kerugian RM2 bilion setahun dalam kutipan cukai tembakau.

Kajian yang ditauliahkan oleh (CMTM), dijalankan oleh Nielsen Company (M) Sdn. Bhd.

Petunjuk itu mendapati masalah rokok seludup di Malaysia masih belum diatasi.

Pengarah Urusan BATM, Willian Toh berkata, pada Oktober tahun lalu, industri itu telah berhadapan dengan kenaikan tiga sen bagi setiap barang rokok.

Katanya, sekiranya arah hala tu terus meningkat, jumlah rokok seludup juga akan bertambah.

”Berikutan perkembangan semasa, industri sekali lagi merayu kepada kerajaan supaya mengenakan pendekatan sederhana dalam kenaikan cukai rokok pada Bajet 2012 nanti,” ujarnya.

Tambahnya, pengalaman antarabangsa membuktikan bahawa kenaikan kecil dan berperingkat ke atas rokok membolehkan pelanggan menyelaraskan perubahan harga.

Shigeyuki Nakano, Pengarah Urusan JTI Malaysia berkata, kenaikan cukai rokok akan hanya memberi tekanan terhadap penguatkuasaan undang-undang untuk menangani masalah itu.

”Rokok haram dijual secara meluas pada harga yang begitu murah, separuh daripada harga yang ditetapkan kerajaan iaitu RM7 bagi 20 batang rokok.

”Selain itu, ia juga tidak mematuhi peraturan kerajaan dalam aspek kesihatan. Akibatnya ia menjejaskan pendapatan kerajaan dan objektif dalam aspek kesihatan,” tambahnya.

Pengarah Urusan Philip Morris, Tarkan Demirbas berkata, pihaknya menghargai peranan penguatkuasaan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

”Biarpun apa tindakan baik yang diambil, tahap penyeludupan rokok di Malaysia masih tertinggi di dunia,” jelasnya.

Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.