Anak tetak ibu kerana dadah

BINTULU: Seorang lelaki yang juga suspek utama kes rompak dan tetak seorang wanita warga emas di sebuah rumah di Kawasan Perumahan MNLG, di sini kelmarin, ditahan petang semalam.

Difahamkan, suspek yang juga anak lelaki mangsa, ditahan di Terminal Bas Bintulu, di sini pada jam 2.15 petang semalam, ketika cuba menaiki bas untuk melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, bertindak atas maklumat risikan dan aduan awam.

“Ketika ditahan, kita turut menemui beberapa dokumen dan barangan milik mangsa yang dilarikan suspek pada hari kejadian. Ini akan dijadikan bahan bukti untuk tujuan pendakwaan.

“Hasil ujian saringan air kencing dijalankan turut mendapati suspek turut positif dadah jenis Methamphetamine dan beliau dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika melakukan jenayah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Zulkipli berkata, dengan penahanan suspek itu, polis berjaya menyelesaikan kes rompakan membabitkan mangsa seorang wanita warga emas berusia 61 tahun.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun, denda dan sebat kerana merompak sehingga mendatangkan kecederaan.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Bintulu esok bagi mendapatkan permohonan tahanan reman,” katanya.

Dalam kejadian jam 11 pagi, Rabu lalu, mangsa mengalami kecederaan teruk dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam ketika bergelut menyelamatkan beg tangannya daripada dilarikan suspek.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.