Kuasai lebih dua bahasa – PM

PUTRAJAYA 22 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan supaya para pelajar di institusi pengajian tinggi di negara ini agar terus memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris tanpa menjejaskan jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Perdana Menteri itu berkata, penguasaan dwi bahasa seperti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah penting agar mampu bersaing dalam dunia globalisasi.

“Setiap individu sepatutnya ada kelebihan untuk bertutur baik dalam dua bahasa. Kalau ada kebolehan untuk menguasai tiga bahasa seperti bahasa Mandarin atau bahasa Jepun alangkah baik kerana ia akan menjadi satu aset.

“Seseorang yang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris tidak semestinya jati dirinya sebagai orang Melayu dan rakyat Malaysia akan terjejas.

“Dengan penguasaan bahasa Inggeris, kita boleh bersaing di persada antarabangsa dan mengekalkan jati diri yang mantap,” katanya pada majlis Minum Petang bersama lebih 400 peserta Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri antara Institusi Pengajian Tinggi di Sri Perdana, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Program Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri, Mohd. Khair Ngadiron dan Pengerusi My Harapan, Roslan Bakri Zakaria.

Sebanyak 46 pasukan akan bertanding dalam Debat Piala Perdana Menteri yang menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai sebanyak RM25,000 bagi juara setiap kategori, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Najib turut memberi nasihat sebagai sebagai “abang tua” kepada para pendebat agar memanfaatkan masa sebagai mahasiswa dan sentiasa menguasai ilmu untuk menjadi seorang berintelektual.

Beliau turut menyaran para pelajar IPT agar rajin membaca untuk meningkatkan ilmu serta meningkatkan kemahiran berkomunikasi.

Nasihat sebagai sebagai seorang pemimpin, Najib mahu para pelajar IPT terus menyokong Pelan Transformasi Negara yang dirangka khas untuk masa depan generasi muda.

“Kita sama-sama menjayakan Pelan Transformasi Negara. Ini akan menentukan masa depan negara,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.