NS, Terengganu ke final

KUALA LUMPUR – Terengganu dan Negeri Sembilan mencipta sejarah apabila berdepan buat pertama kali pada final Piala Malaysia sejak kejohanan bola sepak berprestij itu diperkenalkan pada 1921 selepas memenangi separuh akhir kedua semalam.

Kemenangan 2-1 Terengganu ke atas Selangor untuk ke final dengan agregat 4-1, membolehkan skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim memadamkan misi Selangor untuk menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33.

Negeri Sembilan pula menewaskan T-Team 2-1 untuk ke final dengan agregat 6-3.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Abdul Manaf Mamat sekali lagi membuktikan kehebatannya, apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-19, hasil gerakan menarik di dalam petak penalti.

Gol kedua juara Piala FA 2011 itu dihasilkan menerusi Ashaari Shamsuddin pada minit ke-72, apabila melakukan rembatan deras melalui kaki kiri dari luar petak penalti.

Dua minit sebelum perlawanan tamat skuad bimbingan P. Maniam berjaya memperoleh gol saguhati hasil tandukan Safiq Rahim, yang menerima hantaran lintang Amirul Hadi Zainal.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan berjaya mempertahankan kelebihan keputusan perlawanan separuh akhir pertama 4-2 sebelum menang 2-1.

Negeri Sembilan mampu untuk menjarakkan kelebihan gol pada minit ke-19 apabila Hairuddin Omar berjaya menjaringkan gol, namun ia tidak dikira kerana Shukor Adan dan Hairuddin sendiri berada dalam posisi ofsaid.

Skuad kendalian Yunus Aliff menjadi tertekan pada masa separuh kedua apabila pemain pertahanan T-Team, Nor Fazly Alias diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-57.

Namun, T-Team bangkit dengan jaringan Fitri Omar pada minit ke-72, sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi gol Shahurain Abu Samah tiga minit kemudian.

Negeri Sembilan lega apabila Shukor Adan menanduk masuk gol pada minit ke-84 hasil hantaran lintang pemain sayap S.Kunanlan, seterusnya memadamkan hasrat T-Team untuk mencipta sejarah mara ke final buat kali pertama.

Perlawanan akhir antara Terengganu dan Negeri Sembilan akan berlangsung di Stadium Shah Alam Sabtu depan.

Negeri Sembilan sebelum ini telah dua kali menjulang Piala Malaysia pada 2009 dan 1948, Terengganu pula memenangi piala berusia 90 tahun ini ketika menewaskan Perak 2-1 pada 2001.

Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.