Beberapa tahun kebelaka­ngan ini sejak laman sosial sudah menjadi aksesori wajib bagi keba­nyakan penduduk dunia, cabaran yang dihadapi umat Islam yang berpuasa menjadi semakin gen­ting. Jika dahulu kebanyakan daripada kita hanya perlu menahan lapar dan dahaga, atau sesekali tergelincir mengumpat apabila bertentang mata, dewasa ini situasi tersebut telah berbeza sama sekali.

Penggunaan laman sosial telah mendedahkan kebanyakan daripada kita dalam mengumpul dosa kering secara percuma. Suka atau tidak, itulah fakta yang perlu kita hadam pada masa kini. Banyak pahala boleh terhapus begitu sahaja kerana kelalaian kita sebagai pengguna laman sosial.

Lihat sahaja bagaimana keba­nyakan daripada pengguna laman sosial yang begitu ghairah mengikuti perkembangan kes serbuan dan rampasan yang dilakukan pihak berkuasa pada awal Ramadan lalu di kediaman mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, telah menyebarkan ba­nyak ‘berita’ palsu.

Hal ini termasuklah penyebaran gambar beg berjenama mewah termasuk Hermes Birkin yang hakikatnya milik peniaga online serta wang tunai yang pemiliknya tidak diketahui sehingga menimbulkan beragam persepsi buruk dalam kala­ngan masyarakat. Walhal, pihak berkuasa tidak pernah mendedahkan bahan bukti yang dirampas kerana menghormati proses siasatan.

Itu belum lagi berita-berita atau cerita yang disebarkan dalam grup WhatsApp. Walaupun pada asalnya kita barangkali tidak mempunyai keinginan untuk membaca, namun ada masanya kecundang kerana tertarik dengan tajuk yang sensasi atau kebetulan hanya untuk membunuh masa yang terluang.

Heboh juga baru-baru ini apabila salah seorang pengguna laman sosial yang berpengaruh iaitu Faiz Roslan memuat naik video parodi menari dalam kea­daan ghairah menerima kritikan hebat oleh khalayak. Selain me­nerima teguran daripada ahli agama dan khalayak yang prihatin, Faiz menerima cemuhan yang agak perit kerana dia membalas semula nasihat yang diberi. Ada yang menyifatkan perbuatannya sebagai tidak menghormati bulan mulia. Namun satu fakta utama yang tidak boleh kita tolak ialah Faiz adalah lelaki yang memakai pakaian wanita dan bersolek menyerupai wanita yang tidak perlu dihalalkan bukan sahaja pada Ramadan, sebaliknya dalam apa juga keadaan sekali pun.

Sebagai manusia biasa yang tipis imannya juga, ada masanya kita tidak dapat mengelak daripada berasa jelek atau menimbulkan perbualan mengenai gambar-gambar yang dimuat naik dalam laman Instagram. Hakikatnya, ada pengguna Instagram yang kita sumpah seranah dalam hati misalnya, bukan sahabat malah identiti mereka hanya dikenali dalam laman sosial tersebut.

Hakikatnya tidak ada sesiapa yang menghalang atau mengga­lakkan kita untuk terus terpesona dengan alam maya juga menggunakan laman sosial. Namun sebagai manusia biasa dan untuk berasa diri sentiasa berada dalam radar yang betul, jika tidak berada di tempat kejadian sekali pun, golongan yang berasa ter­pinggir ini perlu ambil tahu atau peduli pada setiap sesuatu yang disebarkan dalam internet tanpa memikirkan adakah sumber yang diperoleh sahih atau sebaliknya. Segalanya bermula dengan hanya menatap laman sosial dan terjerumus terus di dalamnya.

Ironi, Ramadan atau Syaaban, misalnya, tidak banyak sikap manusia yang berubah. Kita masih menjadi kita yang lama. Orang yang jarang mampu menahan nafsu untuk mengetahui sesuatu perkara sama ada ia benar atau sebaliknya serta mahu melihat kemas kini terbaharu entah siapa gerangan pemiliknya sehingga terlupa, menjelang waktu berbuka, pahala yang tinggal hanyalah kerana telah berjaya menahan lapar dan dahaga sementara lainnya telah lenyap terbang umpama debu.

Melainkan kita mampu me­ngawal kendiri dan menjadikan laman sosial sebagai platform terbaik menyebar atau menyalurkan informasi-informasi berguna seperti tip menarik untuk dipraktikkan sepanjang Ramadan.

sumber Kosmo