Kaji Semula Pengambilan Tenaga Kerja Asing

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menyemak dan mengkaji semula perjanjian persefahaman (MoU) dengan negara luar berhubung kemasukan tenaga kerja asing ke negara ini.

Ini termasuklah MoU yang ditandatangani oleh kerajaan terdahulu berkenaan kemasukan sejumlah 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia dalam tempoh tiga tahun yang ditandatangani pada awal tahun 2016.

Menurut Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, kerajaan kini berhasrat untuk mengurangkan jumlah kebergantungan terhadap pekerja asing yang begitu banyak.

“Keutamaan sekarang diberikan kepada pekerja tempatan iaitu rakyat negara ini dulu, kerana kita inginkan rakyat sendiri memperoleh kerja, barulah difikirkan yang lain.

“Perjanjian yang dibuat dengan negara lain juga akan dikaji semula,” katanya memetik Berita Harian Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas melawat Mahkamah Perusahaan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Kulasegaran yang juga merupakan Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, kerajaan tidak akan meminta pekerja Bangladesh yang bekerja di sini untuk pulang ke negara mereka tanpa mengikuti proses yang betul.

“Ia mungkin mengambil masa kerana mereka datang ke sini untuk bekerja dia negara kita. Kita akan lihat apa yang boleh dilakukan mengenai situasi ini,” jelasnya.

Ditanya tentang kekosongan yang besar bakal ditinggalkan mereka, Kulasegaran berkata, langkah pengurangan pekerja asing di bawah pentabiran PH itu akan dilakukan secara berperingkat dan bukan secara mendadak.

Jelasnya lagi, pihak kementerian akan cuba mengisi kekosongan yang pernah diisi oleh pekerja asing dengan pekerja tempatan menerusi beberapa latihan yang akan diadakan.

Ujarnya, inisiatif itu diambil bagi memberikan keutamaan kepada pekerja tempatan untuk bekerja dalam industri yang sebelum ini dipenuhi dengan tenaga kerja asing.

“Apa yang penting buat masa ini adalah keutamaan kepada pekerja tempatan memandangkan dalam beberapa industri tertentu, ia banyak diisi oleh pekerja asing.

“Jika anda pergi ke New Zealand atau Australia, anda tidak dapat mencari pekerja asing dengan begitu banyak. Ini yang perlu kita kaji dan teliti semula,” ujarnya.

Sekadar makluman, MoU yang menyaksikan Malaysia menerima 1.5 juta pekerja Bangladesh secara berperingkat selama tiga tahun itu ditandatangani oleh bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot pada 18 Februari 2016. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.