Konflik Nora, Fasha bakal temui noktah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nora Danish tidak menolak kemungkinan konflik antara dia dan Fasha Sandha berhubung kes saman fitnah yang difailkan tahun lalu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Mengakui dia dan Fasha mengunjungi Pejabat Mediasi, Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin, Nora, 39, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut perkara itu.

Dia berkata, kenyataan susulan hanya akan dikeluarkan selepas segala-galanya selesai.

“Apa yang akan saya jelaskan nanti adalah penamat segala yang berlaku antara kami. Ketika ini, kami hanya menunggu arahan mahkamah dan selepas itu, baru kami akan keluarkan kenyataan rasmi.

“Bukan kami tidak mahu selesaikan kemelut ini di luar mahkamah, tetapi tidak boleh. Jika boleh, sudah lama kami melakukannya. Saya positif konflik ini dapat diselesaikan dengan cara baik,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Shopee, di sini, semalam.

Nora antara enam artis wanita yang dilantik sebagai pelopor Skuad Selebriti Shopee, inisiatif baharu yang membolehkan pengguna mendapatkan koleksi produk dikeluarkan selebriti kesayangan mereka.

Lima lagi artis yang membarisi Skuad Selebriti Shopee untuk platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan itu adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Izara Aishah, Elfira Loy, Heliza Helmi dan Emma Maembong.

Semalam, sebuah portal melaporkan Fasha dan Nora berkemungkinan sudah berdamai selepas kedua-duanya dilihat hadir di Pejabat Mediasi, Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Kontroversi membabitkan kedua-dua selebriti itu tercetus apabila Nora dikatakan, menghalau Fasha pada sebuah acara pertunjukan fesyen pada Mei, tahun lalu.

Susulan insiden itu, Fasha memuat naik gambar berserta kapsyen di laman Instagramnya mengaitkan jenama pakaiannya hingga meninggalkan impak negatif terhadap perniagaannya.

Dalam perkembangan lain, Nora akan kembali ke lokasi penggambaran sebuah drama bersiri bersama pelakon, Shukri Yahaya selepas berehat hampir setahun.

BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.