KWSP, PNB Dijangka Buat Pinjaman Bank 1.5 Bilion Pound (RM8 bilion)

BANGUNAN Battersea Power Station (BPS) London.- Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang memiliki kepentingan dalam bangunan Battersea Power Station (BPS) London dijangka akan membuat pinjaman bank berjumlah 1.6 bilion pound (RM8 bilion), menurut satu sumber.

Menurut sumber yang enggan dikenali, KWSP dan PNB dikatakan akan membuat pinjaman berkenaan dalam masa terdekat dan proses pinjaman itu akan dibuat secara tertutup.

Katanya, perolehan pinjaman itu akan digunakan untuk membiayai semula pinjaman sedia ada dan menyelesaikan pembelian aset komersial yang dibangunkan sebagai sebahagian daripada Fasa 2 projek BPS.

Pada Januari, KWSP dan PNB berkata, mereka akan membelanjakan 1.6 bilion pound (RM8.53 bilion) untuk memiliki kepentingan dalam bangunan BPS, memberikan mereka pemilikan dalam pembangunan kediaman dan pejabat di mana Apple merancang untuk menempatkan ibu pejabatnya di United Kingdom (UK).

Wakil daripada KWSP enggan memberikan sebarang komen. Bagaimanapun, PNB menerusi satu kenyataan, berkata disebabkan perancangan masih dijalankan, pihaknya tidak akan memberi sebarang komen berkenaan pinjaman itu buat masa ini.

Bangunan BPS kini sudah menjalani proses pembinaan semula yang dijangka akan siap lewat 2020, demikian menurut kenyataan pada Januari.

Projek pembangunan bangunan bersejarah yang dijalankan di UK itu adalah sebahagian daripada projek campuran berkeluasan 17 hektar. – BLOOMBERG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.