Penyokong Jeffrey Kitingan Buat Laporan Polis

KETUA Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kumin (tengah) menunjuk laporan polis terhadap aktivis dan pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah, Jufazli Shi Ahmad, di Balai Polis Manggatal. – Foto Ryan Stanley

KOTA KINABALU: Kumpulan menggelarkan mereka penyokong Datuk Dr Jeffrey Kitingan hari ini membuat laporan polis terhadap seorang individu yang didakwa membuat kenyataan kononnya Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu menerima sejumlah wang bagi membantu Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan di Sabah.

Laporan dibuat di Balai Polis Menggatal, di sini, jam 9.30 pagi oleh Ketua Penerangan STAR, Jeffrey Kumin, yang mewakili kumpulan terbabit.

Jeffrey berkata, mereka membuat laporan polis kerana kenyataan dibuat menerusi laman sosial Facebook, baru-baru ini, adalah tidak benar dan berbaur fitnah.

“Sehubungan itu, kami mahu polis mengambil tindakan dan menjalankan siasatan terhadap individu terbabit kerana membuat kenyataan secara terbuka kononnya Datuk Dr Jeffrey menerima rasuah untuk membantu BN menubuhkan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan itu.

Jeffrey berkata, laporan polis itu juga dibuat oleh penyokong Presiden STAR itu di seluruh negeri, sejak semalam.

“SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) telah pun mengambil tindakan dan sehingga kini belum ada bukti mengatakan Presiden kami menerima sejumlah wang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey berharap pihak berkuasa khususnya SPRM turut menyiasat enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk membentuk kerajaan negeri, baru-baru ini.

“Jika pihak berkuasa boleh mengambil tindakan dengan menyiasat Presiden STAR hanya kerana dakwaan liar mengatakan dia menerima sejumlah wang untuk bergabung dengan BN, kenapa tidak mereka turut menyiasat enam ADUN BN yang menyertai Warisan?” katanya.

Selasa lalu, Dr Jeffrey disiasat SPRM berhubung dakwaan kononnya beliau menerima RM20 juta daripada pihak tertentu selepas PRU-14.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.