Semua Menteri, Ahli Parlimen PH Akan Isytihar Harta – TPM

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat beramah mesra dengan bekas menteri kementerian itu Datuk Seri Rohani Abdul Karim (kanan) pada hari ini. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) akan membuat pengisytiharan harta masing-masing, kata Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia adalah antara perkara yang pernah dinyatakan pemimpin PH sebelum ini dan ia wajar dilakukan.

“Ya…ia adalah sebahagian daripada cara pengurusan kita,” katanya.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata demikian pada sidang media selepas menerima nota serah tugas daripada bekas Menteri, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen PH akan mengisytiharkan harta mereka.

Mac lalu, portal berita melaporkan, seramai 36 ahli politik Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR yang berpotensi menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-14 ketika itu mengisytiharkan harta mereka dalam acara anjuran badan bukan kerajaan, Invoke Malaysia.

Bagaimanapun, ia tidak membabitkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP.

Seramai 103 pemimpin PH turut dilaporkan sudah mengisytiharkan harta dengan Invoke, termasuk mereka yang berbuat demikian pada November tahun lalu.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, sebelum ini pernah dilaporkan sebagai berkata kepimpinan parti itu hanya akan mengisytiharkan harta mereka apabila berjaya menawan Putrajaya.

Sementara itu, ditanya seberapa cepat pengisytiharan harta itu akan dilakukan, Wan Azizah hanya menjawab ‘Menteri Kewangan’, yang merujuk kepada Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.