Siasatan Keatas Najib Selesai

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beredar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 4.50 petang Khamis selepas lebih enam jam memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Najib berkata, beliau telah pun memberikan keterangan pada hari kedua kepada SPRM bermula dari pukul 10 pagi hingga 4.30 petang.

“Saya telah jawab semua soalan dengan sebaik-baiknya. SPRM telah melakukan kerja-kerjanya dengan profesional.

“Mereka kata bahawa sesi keterangan telah pun selesai,” katanya kepada pemberita di perkarangan ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Najib yang berpakaian sut hitam dan kemeja putih tiba di ibu pejabat SPRM pada pukul 9.45 pagi Khamis untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International.

Kehadiran Najib bagi memberi keterangan buat kali kedua berhubung siasatan membabitkan anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pada Selasa, Najib hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan selama lebih lima jam berhubung kes yang sama.

Selain Najib, Bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo turut hadir ke ibu pejabat SPRM pada pagi Khamis untuk bertemu dengan Pasukan Petugas Khas 1MDB, dipercayai bagi membantu siasatan berkaitan kes 1MDB.

Justo meninggalkan bangunan pada pukul 1.05 petang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.