“Tak betul” – Mat Sabu

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menafikan bahawa beliau mahu memandu sendiri kereta Perodua Viva miliknya untuk ke pejabat.

Menerusi tweet balasnya di akaun Twitter @MSabu_Official, Mat Sabu yang juga presiden Amanah menjelaskan kenyataan mengenai dirinya yang viral di Facebook sejak Rabu sebagai palsu.

“Tak betul,” tweetnya kepada seorang pengguna Twitter @muinmanan yang bertanyakan perkara itu kepada beliau.

Terdahulu, memetik kenyataan sumber yang tular di media sosial, Mat Sabu kononnya tidak mahu dijemput oleh pemandunya untuk ke pejabat menggunakan ‘kereta roti john’, gelaran kepada kereta rasmi kerajaan yang dinaikinya pada Rabu.

“Ada sumber beritahu, rumah Abang Mat jauh. Jadi, driver datang rumah untuk jemput ke office.

“Dia kata selepas ini, esok boleh tak kalau saya pergi office sendiri? Tak payahlah datang ambil, segan saya. Dengan escort polis, tentera lagi, dengan siren polis lagi.

“Lagi pun saya seorang saja yang naik kereta panjang ini. Campur dengan driver, jadi dua orang. Itu pun bukannya boleh berbual. Saya di belakang, driver di nun depan.”

“Jadi, tentera pun tanya, “YB nak datang ke MINDEF naik apa?”

“Abang Mat selamba jawab, “Eh, saya bawalah kereta Viva saya ini. Laju Viva ni. Sampai MINDEF, kalau ada urusan kerajaan, barulah saya naik kereta kerajaan.”

“Tentera jawab, “Mana boleh macam tu YB, malulah MINDEF. Lagi pun YB orang penting.”

“Abang Mat jawab, “Jadi saya kena naik jugalah kereta Roti John ini? Tapi jangan ada bunyi siren, bising,” demikian menurut kenyataan tular itu yang hanya memetik sumber.

Sebelum ini beberapa gambar Mat Sabu, dijemput dengan kenderaan rasmi kerajaan bersama dengan pengawal peribadi dan polis pengiring yang menunggunya di luar sebuah rumah teres di Shah Alam, dipercayai kediamannya menjadi viral.

Gambar yang dirakam kira-kira pukul 7.55 pagi itu dikongsi Ahmad Sayuti Bashiron di laman Facebooknya.

Gambar tersebut dikongsi sebanyak 985 kali dan mendapat kira-kira 2,300 likes di Facebook.

Mat Sabu merupakan Ahli Parlimen Kota Raja setelah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.