Namun itu dahulu. Tasha Shilla sedar usianya semakin meningkat dan disebabkan itu, dia kian mengerti akan tanggungjawab sebagai seorang pelaku seni dan manusia. Soal jodoh ditolaknya ke tepi. Dia mahu menebalkan fokus serta komitmen terhadap kerjayanya sebagai seorang pelakon.

“Ajal, maut, jodoh dan pertemuan semua di tangan Tuhan. Jadi, soal jodoh saya tidak boleh jawab. Dalam keluarga sekarang, saya seorang yang belum berkahwin, namun tidak tertekan.

“Kalau dulu waktu usia 20-an, saya selalu kejar hal tentang cinta, namun sekarang tidak lagi. Matlamat utama saya sekarang adalah hal yang berkaitan dengan kerjaya. Kalau sibuk bekerja sekarang bertemu dengan lelaki yang boleh dijadikan suami, saya terima, namun saya tidak mencari seperti dahulu,” ujar wanita berusia 31 tahun itu.

Bagaimanapun, tidak menjurus ke arah perkahwinan bukan bermakna Tasha serik untuk bercinta. Katanya, dia masih mengenali hati seorang lelaki buat masa sekarang dan perhubungan mereka berada pada fasa berkawan rapat.

“Selagi tiada cincin di jari atau rombongan merisik, saya tidak mahu dedahkan lebih lanjut siapa lelaki yang sedang rapat dengan saya. Pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati berbicara soal ini.

“Memang ada kawan lelaki, namun bukan pada tahap yang serius. Kami selesa berkawan buat masa sekarang dan seperti saya kata tadi, saya ingin fikir pasal kerja. Kalau sudah ingin ke arah itu (kahwin), saya akan kongsi,” kata Tasha ketika ditemui Kosmo! dalam satu temu bual di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya, Air Mata Syurga baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai drama terbitan Darkwave Pictures Sdn. Bhd., itu, Tasha berkata, dia berdepan cabaran besar dari segi mental dan fizikal apabila diberi kepercayaan melakonkan dua karakter sekali gus.

“Watak yang dilakonkan dalam drama ini telah lama saya nantikan. Untuk satu drama yang mempunyai 30 episod dan saya bawa dua watak memang amat mencabar.

“Kena bijak alih emosi ketika di set penggambaran. Alhamdulillah, saya rasa sudah bagi sehabis baik dalam drama ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan Air Mata Syurga,” terang Tasha yang mendedahkan dia menjalani kelas lakonan selama seminggu dengan Fatimah Abu Bakar.

Menjawab tentang matlamatnya dalam dunia lakonan, Tasha mempunyai impian untuk menggenggam trofi pelakon wanita terbaik, namun bukan itu semata-mata yang ingin dikejarnya.

“Cukuplah andai penonton melihat lakonan saya, mereka terkesan. Soal trofi dan sebagainya, memang saya mahu, namun itu bukan keutamaannya.

“Saya amat kagum dengan pelakon-pelakon senior dalam drama ini seperti Ellie Suriati dan Haliza Misbun. Mereka sudah berpuluh tahun berada dalam industri dan masih diberi kepercayaan untuk berkongsi bakat lakonan hingga ke hari in,” jelasnya bersemangat.

Imej seksi

Dalam lancar melontarkan bicara, anak jati kelahiran Ampang, Selangor itu tersentak apabila dilambungkan soalan berkenaan imej seksinya yang dilihat semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini.

Ketika kerjaya seninya sedang rancak berjalan, ramai yang mengkritiknya sehingga ada yang melabelkannya sebagai simbol seks. Bagaimanapun, Tasha tenang menjawab persoalan berkenaan.

Katanya: “Mulut orang kita tidak boleh tutup. Saya tahu siapa diri saya sebenarnya. Kalau orang masih mahu kutuk, saya masih mampu terima dan hadam. Lebih baik juga saya fokus terhadap apa yang saya kerjakan daripada pening pasal apa orang fikir tentang saya.

“Kalau orang kata saya sudah kurang berpenampilan seksi, saya rasa, tidak. Saya tetap pakai pakaian yang saya suka dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan sudah mula berpakaian sopan.

“Saya akan tetap menjadi diri sendiri. Biarlah apa yang saya lakukan dalam dunia ini menjadi perhitungan antara saya dengan Tuhan. Tasha tetap Tasha yang dahulu. Apa yang penting, kita tahu siapa diri kita.”

Melihat kepada trend sesetengah pelakon wanita hari ini yang berpakaian mencolok mata atau seksi, namun tidak menonjolkan bakat sebenar sebagai seorang pelakon, Tasha mempunyai pandangannya yang tersendiri.

“Bagi saya, kalau ingin berlakon perlu ada minat yang mendalam. Saya memang minat berlakon dan saya tidak tahu pelakon-pelakon baharu memang minat berlakon atau lebih mementingkan glamor.

“Pelakon baharu memang akan sentiasa ada kerana itulah kitarannya. Saya juga dulu bermula dengan bertatih, lama kelamaan akan menjadi semakin baik dalam apa kerja yang kita lakukan. Saya suka melihat banyak bakat baharu kerana disebabkan merekalah, industri lakonan kita akan terus berkembang,” ujarnya.

Ramadan

Bercerita sedikit mengenai bulan Ramadan, Tasha berkata, menjadi rutin buatnya membantu keluarga berniaga di Medan Selera Bunga Tanjung Food Court, Ampang Jaya.

“Waktu sahur memang sibuk kerana ibu saya berniaga. Jadi, makan apa yang ada. Bagi saya, memadai ada susu dan kurma.

“Kalau berbuka puasa saya pun bukan jenis yang suka makan pelbagai hidangan. Cukup buat saya kalau ada roti john yang dibeli di bazar Ramadan,” kata Tasha yang lebih mengutamakan kesederhanaan pada bulan yang mulia ini.

Kata Tasha, Ramadan kali ini memberi makna yang besar buatnya untuk terus menjadi seorang yang lebih baik daripada tahun terdahulu.

“Semestinya apabila datang bulan Ramadan, banyak amal yang kita ingin lakukan. Buat saya sendiri, saya berharap untuk menjadi seorang yang lebih istiqamah melakukan kebaikan.

“Kalau boleh saya ingin memperlahankan rentak seni pada bulan Ramadan tapi saya seorang yang kuat bekerja.

“Ada beberapa projek yang akan berjalan di bulan Ramadan, namun tidak seperti bulan-bulan lain.

“Lebih baik pada bulan yang mulia ini, kita banyakkan amal dan dekatkan diri dengan Tuhan,” tutup Tasha.

Muncul dengan drama terbaharu, Air Mata Syurga yang kini hangat ditayangkan menerusi saluran HyppSensasi, pelakon Tasha Shilla berbicara tentang perihal jodoh, penampilan seksi dan erti Ramadan.