UMNO Perlis pecat MB

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azlan Man yang baru mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis pagi tadi, dipecat sebagai ahli UMNO berkuatkuasa serta merta.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, keputusan pemecatan itu diputuskan sebulat suara UMNO Perlis yang bermesyuarat hari ini.

“Pemecatan itu juga sudah dimaklumkan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas Presiden UMNO dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO,” katanya pada sidang media di ibu pejabat BN di sini, hari ini.

Dengan pemecatan itu, Azlan kini menjadi Menteri Besar tanpa parti.

Terdahulu, Shahidan berkata, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Perlis menolak pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar negeri itu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di ibu pejabat BN di sini, hari ini.

Kesemua sembilan ADUN itu hadir pada mesyuarat berkenaan.

UMNO Perlis bermesyuarat kira-kira dua jam dengan Zahid dan Hishammuddin.

ADUN Bintong, Datuk Seri Azlan Man mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis bagi penggal ke-2 di Istana Arau. – Foto Amran Hamid

Pagi tadi, Azlan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis untuk penggal kedua di Balai Menghadap, Istana Arau.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sekitar jam 11.10 pagi.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menyaksikan BN berjaya meraih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH hanya tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Sebelum ini, Shahidan mengumumkan nama ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang juga adiknya sebagai calon Menteri Besar yang baru.

Kesemua sembilan ADUN BN tidak hadir pada majlis mengangkat sumpah itu, hari ini.

Sebaliknya tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) dan dua ADUN PAS yang hadir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.