Hudud taktik Pas untuk tagih perhatian rakyat – Najib

BATU GAJAH 24 Sept. — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan langkah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat memutarkan kembali cerita lama mengenai hudud sebagai taktik parti itu bertujuan menagih perhatian rakyat.

Beliau berkata, taktik ini dilakukan selepas parti itu menerima kritikan hebat daripada rakyat negara ini ekoran kenyataan Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu yang mempertikaikan peranan anggota polis dalam peristiwa Bukit Kepong dan menyanjung pengganas komunis sebagai pejuang tanah air.

 

“Saya nampak ini taktikal, sebab parti Pas sudah menerima pukulan cukup hebat ekoran daripada kenyataan Mohamad Sabu yang menidakkan pejuang-pejuang nasionalis yang terbunuh dalam insiden Bukit Kepong dahulu. Ia telah menimbulkan kemarahan yang begitu dahsyat dalam kalangan orang Melayu.

“Mereka sedar bahawa sokongan kepada mereka dah merosot dengan begitu ketara, jadi mereka cuba timbulkan isu hudud ini dengan harapan bahawa isu Mohamad Sabu itu akan tenggelam dan cuba muncul sebagai parti memperjuangkan Hudud dan menawan hati orang Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival 1Malaysia di Tanjung Tualang dekat sini.

Najib berkata, isu hudud ini turut memperlihatkan kemelut persefahaman antara parti dalam pakatan pembangkang sudah tidak dapat ditutup lagi dan beliau yakin rakyat bijak menilai kelemahan mereka.

“Dalam soal undang-undang hudud ini, telah timbul satu keadaan di mana perbezaan ideologi mereka sudah tidak boleh ditutup lagi, tidak boleh diselindung di hadapan mata rakyat.

“Saya berharap ini dapat disedari oleh rakyat, kita tidak boleh meletakkan harapan kepada satu gabungan yang tidak sehaluan daripada segi prinsip dan ideologi.

“Walaupun mereka cuba mengaburi mata rakyat, tetapi lambat laun ia akan timbul bukan sahaja daripada segi hudud tetapi juga pembahagian jawatan dalam ‘Kabinet Bayangan’ mereka. Mereka belum berani merangka Kabinet mereka,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.