Berikan bumiputera peluang

SUDAH pasti para kontraktor Bumiputera lega apabila UDA Holdings Bhd. (UDA) mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan (MoF) telah menolak bidaan Everbright International Construction Ltd. (Everbright) untuk membangunkan bekas tapak Penjara Pudu.

Lebih menggembirakan apabila MoF memutuskan supaya pembangunan di kawasan seluas 7.76 hektar itu dibangunkan oleh syarikat-syarikat bumiputera.

Nampaknya, usaha pelbagai pihak mempertahankan projek pembangunan semula tapak Penjara Pudu itu agar dilaksanakan oleh ‘tangan tempatan’ berbaloi.

Sekiranya mengikut keputusan itu, projek pembangunan komersial tersebut akan dilaksanakan oleh bumiputera sepenuhnya termasuk UDA, selaku pemaju induk.

Difahamkan, biarpun projek itu bakal dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor besar bumiputera, pembidaan bagi projek itu bakal dilaksanakan dengan cukup teliti oleh MoF.

Ia kerana, projek yang disasarkan pada awalnya menelan kos hampir RM7 bilion itu adalah projek berimpak tinggi dan merupakan sebahagian daripada projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ini bermakna, projek pembangunan semula tapak Penjara Pudu perlu direalisasikan – kegagalan bukanlah satu pilihan.

Bagaimanapun, sejak isu berkenaan didedahkan minggu lalu, terdapat cakap-cakap belakang yang tidak enak didengar.

Sudah ada segelintir pihak yang mempersoalkan kemampuan UDA dan syarikat Bumiputera untuk melaksanakan projek mega itu.

Dengan dana yang cukup terhad dan hutang yang besar, mampukah UDA melaksanakan peranannya sebagai pemaju utama kerana aliran tunai yang semakin terhad?

Timbul juga persoalan bolehkah pemaju atau kontraktor bumiputera melaksanakan projek berbilion ringgit itu dengan sendiri tanpa ‘mengalibabakan’.

Kebimbangan itu bukan bertujuan untuk memperlekehkan kemampuan bumiputera untuk melaksanakan projek berimpak tinggi tetapi lebih kepada rasa khuatir akan kejayaan membangunkan semula tapak penjara itu.

Ia kerana, kejayaan melaksanakan pembangunan semula di tapak itu bukan sahaja penting kepada negara dan rakyat secara amnya malah kepada UDA sendiri.

Malah, dalam wawancara Utusan Malaysia dengan Pengerusi UDA, Datuk Nur Jazlan Mohamed pada awal tahun ini, beliau menyifatkan kejayaan projek pembangunan Penjara Pudu amat bermakna untuk kelangsungan jangka panjang UDA.

Beliau membayangkan, UDA akan memastikan salah sebuah pembangunan di tapak tersebut akan dijadikan pelaburan yang memberi pendapatan tetap kepada agensi milik MoF itu.

Malah, projek berkenaan dilihat penting kerana UDA tidak boleh selama-lamanya mengharapkan bank tanah yang semakin mengecil dan sewa tapak kompleks miliknya yang kini terkeluar daripada radar persaingan pusat membeli-belah milik swasta yang lebih moden.

Sebelum ini, UDA pernah mencadangkan untuk bekerjasama dengan Everbright tetapi timbul kebimbangan bahawa syarikat tempatan dipinggirkan.

Malah, rasa bimbang itu mungkin berasas kerana sebelum ini UDA telah mempelawa 14 syarikat asing dan tempatan untuk menyertai projek tersebut.

Daripada 14 syarikat itu, hanya 11 syarikat hadir membentangkan kertas kerja kepada Ahli

Lembaga Pengarah UDA pada 7 dan 8 Mac lalu dengan semuanya bukan milik bumiputera sepenuhnya kecuali satu.

Perubahan untuk menarik lebih banyak penyertaan bumiputera dalam projek berkenaan tidak seharusnya mendatangkan keraguan tentang daya maju dan keupayaan mereka.

Biarpun sukar untuk meramalkan pelaksanaan projek ini tetapi MoF dipercayai mempunyai pendekatannya yang tersendiri untuk melaksanakannya.

Malah, terdapat kemungkinan peranan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) digunakan untuk memastikan penglibatan syarikat dan pemaju bumiputera yang memiliki kelayakan yang tinggi untuk melaksanakannya.

Kejayaan pelaksanaan tapak ini adalah kritikal kerana projek tersebut dilihat akan mendapat persaingan dengan Warisan Merdeka yang bakal dibangunkan oleh Permodalan Nasional Bhd. pada tahun depan.

Melalui perancangan yang teliti dan jitu yang dilakukan MoF, projek pembangunan juga bakal menjadi bukti kemampuan usahawan bumiputera selain cadangan pembangunan Warisan Merdeka yang bakal menjadi mercu tanda baharu ibukota.
Sumber-Utusan

One thought on “Berikan bumiputera peluang

  • 30/10/2011 at 11:04 pm
    Permalink

    banyak sangat persatuan/kumpulan/NGO untuk usahawan bumiputera.. kenapa tidak disatukan di bawah 1 persatuan/ngo/group/kumpulan. kenapa perlu ada banyak2.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.