Hormati keputusan UIAM, selesai cara berhemah

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Tindakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menggantung perkhidmatan pensyarah undang-undangnya, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari perlu dihormati oleh semua pihak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau yakin universiti itu dapat menyelesaikan isu tersebut dengan penuh berhemah dan beretika tanpa membelakangkan peraturan.

“Saya serahkan kepada UIAM untuk membuat keputusan selagi ia mengikut prosedur. Pada saya, mereka (UIAM) faham apa yang dilakukan. Justeru, kita perlu menghormati keputusan itu dan tidak mengganggu proses siasatan yang dijalankan,” katanya pada majlis perasmian Program Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan Bagi Lepasan Kolej Komuniti di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Koperasi Ukhwah, Datuk Rahim Baba dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC), Dr. Shuhaizam Zain.

Mohamed Khaled mengulas penggantungan Abdul Aziz daripada tugas berkuat kuasa Khamis lalu berikutan kenyataannya berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu serbuan di Gereja Methodist Damansara Utama, Ogos lalu.

Rektor UIAM, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin kelmarin memberitahu, tindakan menggantung khidmat Abdul Aziz bertujuan memberi beliau masa dan peluang yang secukupnya untuk membela diri dan bukan sebagai ‘hukuman’ sebagaimana diuar-uarkan oleh sesetengah pihak.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, kementerian akan berbincang dengan Kementerian Pelajaran berhubungan kekurangan unjuran penempatan lepasan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Katanya, pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah tersebut berikutan penurunan kekerapan pengambilan lepasan UPSI untuk ditempatkan di sekolah iaitu dari empat kali setahun kepada hanya sekali setahun.

“Kami akan cuba berusaha memastikan lulusan UPSI dapat ditempatkan di sekolah-sekolah dengan lebih kerap meskipun ia di luar bidang kuasa kementerian ini,” tambahnya.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.