Program Science Kids tingkat literasi sains

BAGI merealisasikan pembangunan sains dan teknologi dalam masyarakat, Pusat Sains Negara (PSN) sentiasa berusaha mencari ruang bagi mendekati masyarakat.

Sepanjang tahun, pelbagai aktiviti dijalankan oleh PSN sebagai menyahut cabaran kerajaan bagi memberikan pendedahan kepada setiap golongan masyarakat terutama pelajar dan kanak-kanak.

Antaranya, PSN dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjalankan satu aktiviti Khidmat Masyarakat PSN.

Pengarah PSN, Prof Madya Dr. Irmawati Ramli berkata, program tahunan yang bermula sejak 2000 dinamakan Program Science Kids memberikan tumpuan kepada pelajar kurang kemampuan dari luar bandar.

“Tujuannya adalah untuk memberikan peluang kepada pelajar luar bandar untuk merasai pengalaman sebenar di PSN.

“Program berkenaan juga telah menimbulkan kesedaran dan keyakinan kepada masyarakat desa bahawa sesiapa saja boleh menceburi bidang sains,” katanya selepas Sesi dengan Angkasawan bersama-sama peserta program Science Kids di PSN Bukit Kiara baru-baru ini.

Program Science Kids 2011 bermula pada 3 hingga 8 Oktober melibatkan 48 peserta dari seluruh negara.

Dr. Irmawati berkata, program berkenaan juga memberikan pendedahan kepada pelajar luar bandar berkenaan penggunaan sains dan teknologi dalam kehidupan seharian.

Ia juga memberikan pendedahan kepada pelajar luar bandar tentang pencapaian sains dan teknologi negara.

Selain itu program berkenaan memberikan peluang yang sama kepada pelajar miskin untuk menikmati kemudahan pembelajaran di PSN.

“Peserta dipilih dengan kerjasama KPM dengan setiap negeri menghantar tiga orang pelajar dan seorang guru pengiring bagi setiap negeri seluruh negara.

“Pelajar yang dipilih berusia antara 13 dan 14 tahun dan belajar di sekolah yang dikategori luar bandar,” katanya.

Selain itu, pelajar yang dipilih juga mempunyai latar belakang keluarga daripada sosioekonomi rendah dan tidak berpeluang melawat Kuala Lumpur.

Setiap pelajar walaupun bukan cemerlang tetapi mempunyai kecenderungan dalam bidang sains dan mempunyai pelbagai kaum.

“Pada tahun ini program Science Kids memberikan kelainan dengan menambahkan pertandingan Junior Iron Scientist.

“Dalam pertandingan ini, pelajar diberikan tugasan berkumpulan bagi menguji pengetahuan dan kefahaman mereka terhadap sains dan teknologi,” katanya.

Menurut Dr. Irmawati, konsep Junior Iron Scientist dicetuskan daripada rancangan Iron Chef di televisyen.

Pelajar akan diberikan satu bahan rahsia dan mereka ditugaskan menghasilkan aktiviti atau konsep sains untuk dibentangkan secara saintifik dengan dibantu guru pengiring dan mentor yang terdiri daripada saintis tempatan.

Ditanya mengenai maklum balas yang diberikan oleh peserta sebelum ini, Dr. Irmawati berkata, mereka yang mengikuti program Science Kids cenderung beralih ke bidang sains.

“Tujuan utama kami adalah untuk meningkatkan literasi sains di kalangan pelajar dan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang terlibat dalam Science Kids buat kali ke dua menyifatkan program berkenaan amat berguna bagi menarik minat pelajar dalam bidang sains.

“Program yang sarat dengan pelbagai aktiviti ini amat berguna bagi memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai aktiviti sains,” katanya selepas menghadiri Sesi bersama Angkasawan bersama-sama peserta Science Kids.

“Saya berharap PSN akan mengadakan lebih banyak aktiviti yang melibatkan aeroangkasa bagi mendekatkan pelajar dalam bidang sains.

“Selain itu saya juga berharap lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) dapat melibatkan diri membantu dalam membangunkan sains di kalangan kanak-kanak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.