RM1 juta dana pendidikan anak bekas polis

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian dana khas RM1 juta kepada Yayasan Pengaman di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu meningkatkan kebajikan dan pendidikan anak-anak bekas polis.

Dana itu yang merupakan peruntukan awal daripada kerajaan kepada yayasan tersebut merupakan antara empat insentif baru yang diumumkan Perdana Menteri dalam usaha meningkatkan lagi kebajikan bekas anggota polis.

“Dana ini sumbangan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan jika ada keperluan, kita sedia timbang untuk tambah pada masa akan datang,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Perdana Bersama Pesara dan Bekas Polis, di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri memberitahu kerajaan kini sedang menimbangkan penambahan tempat kepada anak-anak bekas anggota polis untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau sekolah aliran sains.

Selain itu Najib berkata, kerajaan juga sedia untuk menimbang pemberian projek tertentu kepada koperasi polis bagi membantu melancarkan lagi pergerakan koperasi terbabit yang disifatkan beliau sebagai ‘perlu dipulihkan’ demi menjamin kebajikan ahlinya.

“Satu unit khas juga akan diwujudkan sama ada di Kementerian Dalam Negeri atau Polis Diraja Malaysia untuk meneliti keperluan lain pesara polis termasuk dari segi perumahan dan bidang pekerjaan sebagaimana yang dibuat oleh Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menjelaskan, konsep kepolisan perlu diubah dengan pasukan beruniform itu perlu menjadi lebih terbuka, progresif serta demokratik agar sejajar dengan perkembangan dan tuntutan semasa dunia.

Menurut beliau, cabaran PDRM kini semakin besar dan era sekarang menuntut peningkatan nilai profesionalisme serta integriti yang tinggi.

Katanya, ini penting agar anggota keselamatan itu dapat mengulangi kegemilangan polis seperti dicapai ketika zaman darurat dahulu.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.