Anggota polis mati dengan kesan tembakan di kepala

SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala berhampiran kediaman anggota di Balai Polis Pekan Baru, awal pagi tadi. – Foto NSTP

IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala berhampiran kediaman anggota di Balai Polis Pekan Baru di sini, awal pagi tadi.

Mayat anggota polis dikenali sebagai S Pritviraj berusia 29 tahun dan masih belum berkahwin itu ditemui dalam keadaan tertiarap di tepi longkang bersebelahan kediaman anggota bujang jenis semi-d dua tingkat.

Difahamkan, mayatnya ditemui dalam keadaan berpakaian seragam polis dengan senjata jenis MP5 berada bersebelahannya oleh seorang pekerja pembersihan ketika hendak membersihkan kawasan belakang berek balai polis berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata siasatan awal mempercayai kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 pagi dengan anggota polis itu ditemui mati dengan kesan satu tembakan yang menembusi kepalanya.

“Setakat ini, polis mengesyaki tembakan itu datang daripada senjata yang digunakan oleh anggota itu (ketika bertugas),” katanya ketika ditemui pemberita di pintu masuk Balai Polis Pekan Baru di sini hari ini.

Razarudin berkata, polis masih menyiasat motif kejadian termasuk sama ada anggota terbabit menembak diri sendiri, tertembak atau ada unsur lain.

Beliau berkata, anggota berkenaan baru ditugaskan kembali di balai polis berkenaan kira-kira dua hari lalu.

Katanya, sebelum ini anggota polis berkenaan bertugas bersama pasukan petugas khas Unit Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Difahamkan, mendiang sudah bertugas dengan IPD Ipoh sejak 2009 sebagai anggota polis am di Balai Polis Pekan Baru sebelum ditugaskan bersama D7 selepas itu, dan diarahkan kembali bertugas di balai berkenaan Isnin lalu.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.