‘Enggan berubah punca teksi bukan lagi pilihan’ – MB Selangor

-GAMBAR HANYA SEKADAR HIASAN SAHAJA, HARAP PAHAM…

SHAH ALAM: Kegagalan perkhidmatan teksi menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa menyebabkan mereka ketinggalan berbanding pesaing, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Beliau berkata, dalam dunia yang penuh cabaran, semua pihak perlu melakukan perubahan dari semasa ke semasa jika mahu kekal bersaing.

“Dulu memang kita bergantung kepada teksi, tetapi sekarang sudah ada Uber dan Grab.

“Begitu juga dengan semua jenis perniagaan lain. Kalau hendak kekal menjadi pilihan, kita kena lakukan perubahan serta bersedia berdepan cabaran baharu.

“Jangan hanya tahu merintih dan hanya bergantung kepada pihak lain sahaja. Jika begini sikap kita, akhirnya nanti kita akan ketinggalan,” katanya.

Beliau berucap pada Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) kali ke-20 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, menyedari kepentingan perniagaan dalam talian, Kerajaan Selangor melaksanakan program ‘Apps-100’ secara percuma untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Melalui aplikasi ini, kita membantu usahawan memasarkan perniagaan dalam dunia tanpa sempadan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, PKS memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi negara, terutama ketika kemelesetan ekonomi dunia.

“Kita ambil contoh Korea, ekonomi negara mereka selamat disebabkan PKS. Sebab itu sekecil mana pun skala perniagaan PKS, ia amat penting kepada negeri dan negara,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.