Kerajaan terlalu berdendam – Najib

NAJIB tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi memberi keterangan berhubung kes pembayaran hutang dana pelaburan 1MDB kepada International Petroleum Investment Co (IPIC). – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kerajaan Malaysia hari ini sebagai pendendam susulan pendakwaan terhadapnya berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataannya hari ini meluahkan perkara berkenaan walaupun beliau sudah menerima hakikat didakwa berkaitan syarikat pelaburan strategik itu.

“Esok sekali lagi saya akan didakwa oleh SPRM, yang tidak pernah berlaku di mana-mana negara yang kerajaannya terlalu pendendam.

“Saya menerima hakikat didakwa berkaitan 1MDB dan ia adalah kuasa kerajaan untuk mendakwa saya mengikut kehendak mereka,” katanya.

Menurut Najib, setiap sen wang 1MDB adalah dari pinjaman dan adalah tidak masuk akal jika beliau berniat untuk mencuri wang yang dipinjam dan diletakkan dalam akaun atas namanya sendiri.

“Saya tahu akan dapat menghadapi pendakwaan ini di mahkamah dengan mudah, namun pada masa ini saya ingin bertanya akan kejujuran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Mereka perlu melihat pada gambaran lebih besar untuk menyelesaikan isu 1MDB, hentikan mainan politik, jujur dengan semua rakyat Malaysia, pastikan ekonomi dan rakyatnya diutamakan, bukannya berterusan menjadikan lawan politik mereka sebagai keutamaan, siang dan malam,” katanya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi satu kenyataan media hari ini memberitahu Najib, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, akan didakwa di mahkamah atas kesalahan pecah amanah esok.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau Prestasi Kerajaan, Datuk Lokman Noor Adam dalam kenyataannya meminta semua rakyat Malaysia yang menolak penganiayaan ke atas Najib serta Mohd Irwan untuk hadir beramai-ramai bagi menyatakan #Solidariti4NajibRazak dan #Solidariti4IrwanSerigar.

“Jangan biarkan penganiayaan demi penganiayaan terus dilakukan atas bekas pemimpin dan penjawat awam negara ini,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.