Sikit-sikit telefon polis, duda kesepian terima padah

SEORANG lelaki berusia 55 tahun berdepan hukuman penjara lima tahun kerana ‘menghalang pegawai awam daripada menjalankan tugas’.

Jenayah yang dilakukan lelaki dari Turki itu adalah – menelefon polis 45,210 kali dalam masa setahun.

Şeref Can, dari daerah Bayrampaşa di Istanbul, telah bercerai dengan isterinya dan didakwa menghubungi talian polis lebih dari 100 kali setiap hari antara 15 Mei 2017 dan 15 Mei 2018.

Tetapi, dia tidak pernah membuat sebarang aduan atau meminta bantuan polis.

Sebaliknya, dia hanya cuba berbual dengan sesiapa yang mengangkat telefon.

Pada satu ketika, anggota polis berasa begitu rimas dengan tindakan Can yang luar biasa, menyebabkan mereka memfailkan aduan mengenai dirinya dengan jabatan komunikasi dan elektronik polis Istanbul.

Selepas mengesahkan bahawa Can telah mennghubungi nombor kecemasan 115 sebanyak 45,210 kali dalam setahun, penyiasat mengenakan pertuduhan ‘menghalang pegawai awam daripada menjalankan tugas’.

Can akan dibicarakan di mahkamah dan jika didapati bersalah, dia berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Can sudah memohon maaf kepada polis dalam satu kenyataan dengan menyatakan bahawa dia tak putus-putus menghubungi mereka hanya kerana kesepian.

“Saya bercerai dengan isteri saya kira-kira dua tahun lepas. Saya minum arak sepanjang masa.

“Saya menghubungi talian kecemasan kerana saya berasa tertekan dan sepi. Saya menyesali tindakan saya dan tidak akan melakukannya lagi,” Can dilaporkan menulis dalam kenyataannya. –Hurriyetdaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.