USLR diperluas ke 8 negeri

KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun melakukan pemeriksaan barisan kawalan kehormat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) akan diperluaskan meliputi lapan negeri mulai tahun depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata USLR yang berada di bawah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) meliputi sektor Kuala Lumpur-Seremban dengan jarak 66 kilometer (km) dari Plaza Tol Sungai Besi ke Senawang membabitkan empat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Serdang, Kajang, Nilai dan Seremban.

“Unit ini akan diperluaskan meliputi Lebuhraya Utara Selatan dari Jitra, Kedah ke Johor Bahru dengan jarak 863.7 km membabitkan lapan kontinjen iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Ia berperanan menjalankan siasatan bagi kes kemalangan ringan di lebuh raya dan mendapat maklum balas positif pengguna jalan raya.

“Sejak dilancarkan pada Februari lalu, sebanyak 5,256 kes berjaya diselesaikan. Ia turut membantu mengurangkan kadar jenayah selain berperanan membuat rondaan di kawasan terbabit,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, walaupun perluasan itu masih di peringkat perancangan, namun beliau optimis ia dapat dilaksanakan tahun depan.

“Kami perlu menguruskan dari segi logistik dan juga tenaga kerja. Sebaik kerajaan meluluskan perkara itu, kami akan memperluaskan unit berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan berhubung harapan PDRM dalam Bajet 2019, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya membuat permohonan munasabah dan berharap peruntukan dapat memberi keutamaan kepada kebajikan pegawai dan anggotanya.

“Kami sudah membuat permohonan kepada kerajaan Pusat dan terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan. Kami harap dapat bajet yang mencukupi, tapi kami faham kekangan dihadapi oleh kerajaan.

“Kebajikan pasukan PDRM masih menjadi antara keutamaan terutama membabitkan perumahan dan kerosakan lif,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.