Wabak beguk: Pelajar diarah pulang

LEBIH 70 peratus pelajar di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Kajang diarah pulang ke rumah masing-masing selepas dijangkiti penyakit beguk. – NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KAJANG: Lebih 70 peratus pelajar di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang diarah pulang ke rumah masing-masing selepas dijangkiti penyakit beguk, baru-baru ini.

Tinjauan akhbar ini mendapati keadaan di sekolah kelihatan lengang selepas ibu bapa mengambil anak-anak mereka semalam.

Walau bagaimanapun, guru-guru dan pihak pentadbiran bertugas seperti biasa.

Sumber yang tidak mahu dikenali berkata, sekolah berkenaan diarah tutup selama dua minggu bagi mengelakkan penyakit berkenaan merebak.

“Beberapa guru turut dijangkiti wabak ini. “Pada mulanya, hanya segelintir pelajar yang dijangkiti dan dibawa ke klinik untuk rawatan, namun ia tersebar sehingga sebahagian pelajar menghidapinya,” katanya.

Katanya, pelajar akan diarah kembali ke sekolah pada 9 November depan untuk mengambil peperiksaan akhir tahun dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebelum ini, serangan wabak beguk di beberapa sekolah berasrama penuh menjadi viral di laman sosial selepas diarah tutup lebih dua minggu.

Sekolah terbabit termasuklah SMAP Kajang dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.