Kos Penginapan Dan Pengangkutan Naik 100 Kali Ganda, Peminat Real Pulangkan 1,000 Tiket Final

KIEV, Ukraine: Peminat Real Madrid memulangkan 1,000 tiket perlawanan final Liga Juara-Juara bertemu Liverpool susulan kos penginapan dan pengangkutan yang melambung tinggi menghalang mereka daripada berkunjung ke bandaraya ini.

Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin berkata tiket-tiket berkenaan tidak boleh dijual semula kepada peminat Liverpool atas alasan keselamatan tetapi mereka akan menjualnya kepada peminat tempatan di ibu negara Ukraine itu.

Kemarahan peminat kedua-dua pasukan ketika ini memuncak membabitkan kenaikan mendadak harga bilik hotel dan pembatalan tempahan dengan sesetengah hotel mengenakan harga 100 kali lebih tinggi berbanding harga standard.

Liverpool berkata mereka sudah membuat aduan kepada ‘pihak tertinggi’ badan induk bola sepak Eropah itu.

Naib Presiden UEFA dari Ukraine, Grigoriy Surkis mengkritik sikap pemilik-pemilik hotel berkenaan yang mengambil kesempatan atas perlawanan membabitkan dua gergasi bola sepak Eropah itu yang memiliki 17 kejuaraan di antara mereka.

“Saya tidak kecewa, tetapi saya marah,” katanya kepada AFP.

“Saya fikir ia sesuatu yang memalukan buat ibu negara, di mana pemilik hotel individu tidak memberikan orang peluang untuk datang ke sini bukan seperti yang berlaku di bandar-bandar lain dengan meningkatkan harga kepada 10 kali ganda, tetapi hampir 100 kali ganda.”

Keputusan untuk menganugerahkan Kiev selaku tuan rumah final dibuat sebelum Ceferin dipilih sebagai presiden pada 2016 dengan warga Slovenia itu sudah pun mengenalkan sistem tender menerusi laporan penilaian membabitkan bandar yang membuat bidaan.

Stadium Olimpik Ataturk di Istanbul yang memiliki kapasiti 76,000 tempat duduk dinamakan sebagai tuan rumah final edisi 2020, semalam manakala final musim depan berlangsung di gelanggang Atletico Madrid, Wanda Metropolitano.

Selain itu, Ceferin mengakui penjualan tiket final dalam pasaran gelap turut menjadi masalah besar.

Peminat Real, Marcos Sanchez mengakui sudah mengesahkan penginapan lebih awal tetapi tempahannya dibatalkan dengan harganya secara tiba-tiba melambung.

“Ia menjadi mimpi ngeri,” katanya. “Saya sudah melaporkan kepada rangkaian media sosial dan ada wartawan Ukraine menghubungi saya kerana ia memberikan imej buruk terhadap bandar dan negara itu.

“Orang mula mencipta kumpulan Facebook yang menawarkan kediaman mereka di Kiev secara percuma dan ia berjalan dengan baik, ia benar-benar wujud.” – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.