Manfaat bertadarus

Sekejap saja masa berlalu apabila kita kembali menemui Ramadan walaupun mungkin bulan puasa tahun lalu seakan-akan baru saja berlalu.

Cabaran getir berpuasa zaman digital pasti tambah sukar dengan lambakan status, pos atau perkongsian di laman sosial yang boleh mengakibatkan kita ‘mengumpat’ orang lain secara tidak langsung, malah mungkin dianggap fenomena biasa.

Dulu, aktiviti mengumpat mungkin secara berbual biasa, tetapi pada masa ini, ia mungkin terjadi dalam ruang komen Facebook, ‘mention’ di Twitter atau sembang berkumpulan di WhatsApp, belum lagi melihat foto tidak elok di Instagram.

Bukankah lebih elok sekiranya aktiviti mengumpat online itu dihentikan dan menggunakan teknologi dengan lebih bermanfaat sebagai platform digital untuk menambah pahala, bukannya dosa.

Malah, keutamaan juga perlu dilebihkan kepada ibadat dan seboleh-bolehnya kita perlu mengelak terlalu menghiburkan diri dengan perkara melalaikan sedangkan teknologi seharusnya mendekatkan diri dengan Tuhan.

Kalau anda perhatikan, tabiat moden pengguna masa kini, sebaik saja masuk waktu berbuka puasa, mereka tidak membaca doa terlebih dulu, tetapi merakam foto makanan yang terhidang di depan mata.

Ya, berbuka puasa dan telefon pintar kini sukar dipisahkan. Bayangkan anda lebih sanggup menyunting foto di telefon berbanding menyediakan masa untuk bertadarus walaupun satu surah ringkas.

Malah, ada juga yang terlalu sibuk berbalas WhatsApp berbanding memanfaatkan telefon pintar yang ada untuk memindah turun aplikasi al-Quran yang mampu diakses di mana saja pada bila-bila masa.

Namun dengan adanya al-Quran digital, ia seharusnya menjadi pelengkap Ramadan yang penuh berkat ini.

Aplikasi paling mudah dipasang bersama telefon pintar termasuklah al-Quran terjemahan bahasa Melayu yang didapati pada platform Android ini.

Ia pasti memberi kelebihan kepada pengguna yang mahu bertadarus iaitu aktiviti yang sangat digalakkan pada Ramadan.

Lebih menarik, ia disediakan dengan terjemahan bahasa Melayu dengan kemudahan ciri ‘Prayer Reminders’ untuk pemberitahuan waktu solat tempatan anda.

Hanya leretkan dari kiri ke kanan untuk pergi ke surah sebelumnya atau dari kanan ke kiri untuk pergi ke surah berikutnya selain reka bentuk baru jenis ActionBar yang berupaya untuk menyalin ayat terbabit ke clipboard.

Bagi mencarinya pula, terdapat ikon carian berdasarkan juz atau surah manakala satu klik yang lama membolehkan surah terbabit ditandakan penanda buku, berkongsi di media sosial, aplikasi mesej atau melampirkan nota.

Malah aplikasi sama turut menyediakan fungsi audio yang dialunkan Abdullah Basfar dalam setiap surah.

Selain aplikasi al-Quran, ada juga Quran digital yang menjadi tumpuan sekiranya pengguna mahu mengasingkan antara al-Quran dan aplikasi al-Quran dalam telefon pintar.

Ramadan kali ini mungkin masa yang sesuai untuk memanfaatkan teknologi paling dekat dengan kita seperti telefon pintar dan tablet di samping penggunaan gajet lain seperti al-Quran digital atau tasbih elektronik.

Terdapat lambakan gajet di pasaran dengan pelbagai jenama yang menggunakan pen sebagai peranti memainkan audio bacaan al-Quran bagi membolehkan anda mengaji di mana saja anda berada dengan bimbingan ‘ustaz’.

Bagaimanapun, pen yang dibangunkan perlu mendapat kelulusan daripada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) sementara terjemahannya pula disahkan JAKIM.

Al-Quran dalam bentuk pen dapat membantu mereka yang mesra teknologi untuk belajar serta mendapat manfaat daripada set yang mengandungi al-Quran berkod serta pen pintar.

Pada kebiasaannya, pengguna turut dibekalkan kad mengandungi 114 surah dan kad 26 doa harian, buku Iqra dan pakej amalan solihin terdiri daripada surah Yasin, Asmaul Husna dan AlMa’thurat.

Pen pintar yang ada membolehkan pengguna mendengar bacaan dengan mudah.

Ia direka untuk membaca teks dan imej yang dikodkan dan dicetak di atas kertas, kemudian menukarkan data berkenaan kepada suara atau bunyi. Saiz pen yang kompak memudahkan ia dibawa ke mana saja dan menjadikan proses pembelajaran lebih menarik serta berkesan.

Harian Metro 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.