Martabat warisan di lantai tari

Lambang kepahlawanan kaum Iban di Sarawak ia­itu Terabai menjadi elemen tradisional cuba dikete­ngahkan koreografer, Andrew Igai Jamu, 24, dalam tarian kontemporari yang dipersembahkan penari­nya sempena Pertunjukan Tarian Kontemporari UMa, baru-baru ini.

Anak kelahiran daerah Pekan, Sarawak itu berkata, penggunaan Terabai oleh penari dalam persembahan berkenaan adalah bagi memberi mesej kepada penonton bahawa elemen tradisional juga boleh diselitkan dalam persembahan tarian kontemporari.

Bercerita lanjut, Andrew berkata, persediaan hampir dua bulan dilakukan bagi menjayakan persembahan berkenaan dan dia gembira dapat mengete­ngahkan seni warisan negeri kelahirannya kepada penonton.

Katanya, usaha memperkenalkan warisan Iban itu juga dilakukan bagi membuktikan elemen tradisional tidak harus dilupakan walaupun ramai kini cenderung dengan tarian moden.

“Terabai kini tidak lagi digunakan tetapi ia tetap lambang kepahlawanan dan kemegahan rakyat Sarawak terutama kaum Iban.

“Dalam usaha memperkenalkan warisan itu kepada masyarakat luar terutama generasi muda, saya jadikannya sebagai salah satu prop yang digunakan penari dalam persembahan.

“Malah, selain Terabai, penari turut menggayakan pakaian tradisional Iban iaitu Ngepan bersesuaian dengan konsep persembahan,” katanya yang kini menuntut di semester satu Sarjana Seni Persembahan Tari UM.

Sementara itu, Penasihat program Dr Premalathia Thiagarajan berkata, Pertunjukan Tarian Kontemporari UMa adalah program tahunan yang dianjurkan dengan kerjasama 40 penuntut dan alumni Universiti Malaya (UM).

Dr Premalathia yang juga Pengarah Artistik Program berkata, 10 kumpulan mengambil bahagian dan beliau berpuas hati dengan komitmen dan mengakui tarian diper­sembahkan jauh lebih baik berbanding ketika sesi latihan sehingga raptai penuh.

“Persediaan untuk menjayakan pertunjukan ini diadakan sejak awal semester lagi apabila setiap kumpulan terbabit perlu mengusulkan idea mereka namun pemilihan penari dibuat oleh koreografer yang sebahagiannya alumni UM.

“Mereka perlu melalui dua sesi penilaian dan dalam tempoh itu, kami akan memberi pandangan dalam memastikan per­sembahan mereka mencapai standard dan pada masa sama mengundang koreografer luar sebagai salah satu inisiatif untuk menjalin hubungan baik dengan pihak industri.

“Secara peribadi, saya berpuas hati dengan persembahan penari dan bukan saja mereka, malah pujian juga patut diberikan kepada kru yang membantu kelancaran program di belakang tabir,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.