Timbalan Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Perlis Datuk Bahari Taib berkata perkara seumpama itu tidak pernah berlaku kerana kuasa memecat keanggotaan parti bukan terletak pada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“Pada pandangan kami dalam keadaan ini, Shahidan sepatutnya perlu berbincang dan dapatkan pandangan pusat sebelum membuat apa-apa keputusan… apa yang dilakukan di luar perkembangan UMNO.

“Kami juga berpandangan Shahidan tidak faham apa terkandung dalam perlembagaan UMNO,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya Mubarak Perlis menjunjung kasih ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di atas perkenan melantik Azlan sebagai menteri besar bagi penggal kedua dan akan menyokong penuh kepimpinan beliau.


Shahidan yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri hari ini mengumumkan cadangan memecat Azlan, yang baru mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis pagi tadi, kerana didakwa tidak mendapat sokongan majoriti setelah sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Perlis menolak pelantikan itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai isu itu memandangkan tindakan pemecatan Azlan itu masih belum dianggap sah.

“Saya tidak pasti sama ada pengerusi UMNO negeri ada hak atau tidak untuk pecat Azlan, kita tunggu , tengok dulu sah atau tidak pemecatan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena Asrul Nizan Abd Jalil daripada PKR berkata kemelut yang melanda BN Perlis akan melemahkan parti itu sendiri sekali gus merugikan mereka.”Perkara ini juga akan menambah murka baginda Tuanku Raja Perlis kerana mereka dilihat seolah mencabar keputusan baginda melantik Azlan sebagai menteri besar.

“Pada masa ini juga rakyat boleh menilai sendiri Shahidan itu berada di tahap mana sehingga boleh melawan Tuanku,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai juga menyatakan kekesalan terhadap kemelut yang berlaku dan menyifatkan tindakan wakil-wakil rakyat terlibat sebagai tidak menghormati keputusan Raja Perlis.

Fatin Nabila Mohd Kher, 24, berkata jawatan tidak seharusnya menjadi keutamaan dalam mentadbir kerajaan, sebaliknya mandat diberi rakyat untuk mentadbir tidak boleh diekploitasi untuk kepentingan sendiri.


”Pelantikan Datuk Seri Azlan sebagai menteri besar sudah sesuai jika dibandingkan dengan Datuk Ismail Kassim demi mengelakkan kepimpinan nepotisme,” kata pelajar institusi pengajian tinggi awam itu.

Pekerja swasta Mohd Syakir Safri, 32, menyifatkan tindakan Shahidan sebagai biadap kerana melawan titah Tuanku demi kepentingan politik dan kelangsungan legasi sendiri.

“Tunjukkan kematangan dalam berpolitik kepada rakyat, jangan hanya mementingkan diri sendiri. Datuk Azlan pun ada sumbangan beliau untuk rakyat Perlis, perancangan-perancangan yang akan diteruskan untuk anak-anak cucu kita,” katanya.

Azlan, 60, yang merupakan ADUN Bintong, dilantik sebagai Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua selepas BN berjaya mempertahankan negeri itu pada PRU14 dengan menguasai 10 daripada 15 kerusi DUN, manakala parti Pakatan Harapan tiga kerusi dan Pas dua kerusi. – BERNAMA