Potensi Predator

Hafiz Ithnin

ACER Inc (Acer) memberi tumpuan kepada segmen permainan video keluarannya, Predator yang dilihat mempunyai potensi besar menyumbang kepada pertumbuhan syarikat dengan ketara pada tahun ini, namun tidak mengetepikan segmen produk yang lain.

Menerusi pengenalan lebih 17 barisan produk Acer yang bakal muncul sepanjang tahun ini, lebih lima produk dan aksesori membabitkan Predator yang dijangka mampu memacu pertumbuhan penguasaan pasarannya dalam segmen permainan video.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jason Chen berkata, antara produk dalam keluarga Predator yang bakal menemui pengguna tahun ini ialah laptop Helios 300 edisi khas yang didatangkan juga bersama aksesori lain serba putih berbanding warna hitam yang sinonim dengan jenama berkenaan.

Beliau berkata, pengenalan lebih banyak produk membabitkan Predator membantu Acer untuk mengukuhkan kedudukannya di pasaran antarabangsa termasuk Malaysia dalam industri permainan video yang semakin berkembang dalam kalangan pengguna akhir.

“Dalam tempoh 12 bulan lalu, Predator mencatatkan pertumbuhan 94 peratus dan ia adalah peningkatan sekitar dua kali ganda berbanding tempoh sama sebelumnya. Perkara ini menunjukkan produk Acer semakin mendapat permintaan dalam kalangan pengguna.

“Bagi Acer, pertumbuhan penguasaan pasaran bukan sasaran utama tetapi ingin menawarkan pengguna permainan video terbaik kerana ia lebih memberi kesan serentak yang pelbagai kepada syarika,” katanya kepada Harian Metro di New York City, Amerika Syarikat, hari ini.

Majlis pengenalan barisan produk Acer adalah acara utama diadakan oleh syarikat berpangkalan di Taiwan itu setiap tahun yang dikenali sebagai next@Acer. Majlis itu turut dihadiri pelbagai media antarabangsa yang menjadi tetamu utamanya.

Antara produk lain diperkenalkan Acer ialah komputer riba Swift 5 (15 inci), Desktop Acer Nitro 50 Siries, Monitor Nitro VG0 Series, Acer Chromebook Spin 15,komputer riba Predator Helios 500 dan Predator Mousepad.

Acer turut memaklumkan, hampir semua produk yang diperkenalkan tahun ini akan menemui pengguna di Malaysia secara berperingkat seawal suku ketiga.

– Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.