Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menjadi Menteri Besar Perak ketika itu ­baru-baru ini mengakui kerajaan negeri telah memberikan status hak milik tersebut kekal kepada 11 penduduk kampung baru di Kuala Rui, Gerik pada 2008.

Hak milik itu diberikan atas nasihat pengamal undang-undang, jelas beliau.

Sudah tentu kita masih ingat bagaimana pemberian itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak terutama orang Melayu.

Kini, isu sama kembali ha­ngat selepas Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu mempunyai nada berbeza dalam perkara itu apabila menegaskan bahawa hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru bercanggah de­ngan Perlembagaan.

Walaupun tidak secara te­rus terang membantah pemberian itu namun tidak dapat ­dinafikan kenyataan itu adalah tafsiran ‘betapa beratnya hati’ Ahmad Faizal untuk memberikan hak milik sebegitu mudah walaupun ia terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pegangan Ahmad Faizal jelas. Beliau berpegang kepada ketetapan Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 menetapkan bahawa tempoh pajakan atau leasehold bagi kampung-kampung baru tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Ini sekaligus bermakna ia mengikat semua negeri di Semenanjung seperti peruntukan di bawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan.

Kenya­taan itu pantas mendapat reaksi Nga Kor Ming namun akhirnya Pengerusi DAP Perak itu menjelaskan beliau tidak memberikan tekanan kepada Menteri Besar dalam isu tersebut.

Malah kerana isu tersebut, Ahmad Faizal menegur Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar ne­geri, Dr. Abdul Aziz Bari kerana membuat kenyataan secara terbuka kepada media. Sedangkan, kata Ahmad Faizal perkara itu sepatutnya dibincangkan secara tertutup di peringkat mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Namun hubungan mereka tetap mesra apabila Abdul Aziz pantas menjelaskan bahawa percanggahan pendapat dalam isu status hak milik tanah 999 tahun antara beliau dan Ahmad Faizal hanyalah daripada sudut Perlembagaan.

Abdul Aziz berpendirian bahawa tiada masalah untuk kerajaan negeri melaksanakan ma­nifesto Pakatan Harapan Perak di bawah teras tiga iaitu Keadilan Sosial dan Demokrasi.

Abdul Aziz yang disifatkan sebagai pakar Perlembagaan berpegang pada hujah bahawa Perlembagaan Persekutuan 91(5) yang tidak menyebut soal halangan kerajaan negeri memberikan hak milik kekal kepada penduduk kampung baharu, kampung tersusun dan peneroka Felda.

Adalah jelas isu hak milik tanah ini agak kompleks dan nampak sukar untuk diselesaikan di peringkat negeri, maka ia perlu campur tangan pe­ringkat Pusat. Ini bertepatan dengan ketetapan Ahmad Faizal ketika penggulungan Sidang DUN Perak baru-baru ini bahawa memandangkan kerajaan ne­geri dan kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan, perkara ini akan dipanjangkan kepada kerajaan Pusat untuk pertimbangan melalui MTN.

Ada yang berpandangan bahawa kerajaan negeri lebih berkuasa ke atas hal ehwal tanah dan persoalannya adakan kuasa itu mengatasi perkara yang telah ditetapkan oleh MTN?

Untuk itu, kerajaan ne­geri dan Pusat, pakar undang-undang dan Perlembagaan serta MTN perlu duduk semeja membincangkan masalah ini agak keputusan yang diambil kelak tidak merugikan mana-mana pihak apatah lagi rakyat.

Satu bengkel khas bagi membincangkan isu itu akan diwujudkan seperti yang dicadangkan oleh Menteri Besar baru-baru ini untuk perkara itu diteliti oleh semua pakar Perlembagaan sebelum ia dibawa ke MTN.

Dalam masa sama, suara rakyat terutama orang Me­layu tidak harus diketepikan, ia perlu diambil kira berhubung perkara ini kerana hati mereka telah terguris kerana pemberian yang sama 10 tahun lalu.

Keputusan yang dibuat kelak perlu mengambil kira sensitiviti orang Melayu di saat mereka merasakan kedudukan mereka semakin terancam, juga dalam menepati kehendak undang-un­dang, perlu juga difikirkan ra­sional sesuatu dasar yang hendak dilaksanakan.- UTUSAN ONLINE