Sering terkencing ketika batuk, ketawa dan beriadah?

ANTARA latihan atau senaman untuk menguatkan otot pelvik. – Foto Khairul Azhar Ahmad

PERNAHKAH anda mengalami situasi ‘terkencing’ dalam seluar walaupun sudah membuang air kencing lima minit sebelum itu? Situasi sedemikian menyebabkan anda hilang keyakinan untuk keluar rumah dengan tidak memakai tuala wanita atau alas seluar dalam.

Jika ciri yang dinyatakan itu berlaku, ini bermakna anda berada dalam berkenaan tidak normal. Puncanya disebabkan otot pada lantai pelvik tidak kuat membuat kemutan hingga anda sukar menahan kencing.

Kurangnya keupayaan otot pelvik mengemut dengan sempurna menjejaskan kualiti hidup seharian hingga menjadikan anda hilang keyakinan diri.

Lebih menyeksakan, individu yang mengalami keadaan ini terpaksa menjadikan tandas sebagai rumah kedua kerana daya kemutan tidak berfungsi dengan baik. Anda sering terkencing sehingga mengulang ke tandas lebih daripada 20 kali sehari.

Serangan sembelit mahupun kerap beranak secara normal antara punca kesan lantai pelvik lemah dan berisiko menyebabkan rahim jatuh. Dalam keadaan sedemikian, berlaku lelehan air kencing setiap kali anda ketawa, bersin, batuk atau bersenam.

Dalam keadaan sedemikian, wanita mengalami rasa tidak puas membuang air kecil dan sukar membuat kemutan ketika melakukan hubungan seks, selain menimbulkan kesan tidak selesa disebabkan benjolan pada alat kelamin. Bagaimanapun keadaan ini berlaku pada tahap serius.

Umum menyatakan kesan peranakan jatuh dalam keadaan kronik sebagai tombong.

Situasi itu umpama umbut yang tumbuh di dalam buah kelapa tua berwarna kekuningan. Bidang perubatan moden pula dikenali sebagai uterovaginal prolapse (UV prolapse).

Satu daripada empat wanita bermasalah

Kajian Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat mendapati, satu daripada empat wanita menderita disebabkan lantai pelvik lemah walaupun diagnosis awal bagi membantu menjalani rawatan.

Situasi ini biasanya berisiko berlaku dalam kalangan wanita yang pernah mengalami kelahiran normal, lebih-lebih lagi jika bayi yang dilahirkan bersaiz besar.

Masalah lain termasuk menggunakan alat bantuan forsep atau vakum, selain tekanan dalam abdomen yang berterusan akibat kehamilan berulang kali, selain sering mengalami sembelit.

Pakar Kesuburan dan Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Hoo Mee Lin, berkata rahim jatuh berlaku pada keadaan dibayangkan sebagai sesuatu “terkeluar” dari bahagian alat sulit wanita.

Lebih menakutkan beliau berkata, kesan terkeluar itu umpama ‘kepala bayi’ yang berada di celah kangkang, pada keadaan kronik dan membuatkan anda tidak selesa.

“Risiko rahim jatuh sering berlaku dalam kalangan wanita sudah putus haid atau menopaus disebabkan ketiadaan estrogen. Pada masa sama juga, keadaan sedemikian boleh berlaku kepada wanita muda.

“Keadaan ini sering dikaitkan dengan aktiviti mengangkat barang berat,” katanya ketika ditemui pada sesi taklimat Permasalahan Pelvik di Pusat Penjagaan Pelvis Vibrance (VPCC), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Disebabkan kejatuhan dinding rahim

Rahim turun ini juga kata beliau, berkait rapat dengan kejatuhan dinding faraj. Keadaan ini menyebabkan berlaku kejatuhan pada pundi kencing (di dinding depan faraj) dan usus dubur (di dinding belakang faraj).

Keadaan ini kata beliau, menyebabkan wanita menghadapi kesukaran atau berasa tidak puas membuang air kecil atau air besar mahupun tidak dapat menahan kemutan ketika hubungan seksual.

“Keturunan bukanlah faktor penyebab berlakunya masalah ini melainkan wanita itu ada ahli keluarga yang mengalami situasi sama. Ia bermakna genetik mereka ada risiko kelemahan di bahagian otot.

“Tidak ada kaitan dengan faktor pemakanan yang biasa kita dengar boleh menyebabkan rahim turun. Bagaimanapun tombong ini tidak keluar drastik dan berlaku secara berperingkat,” katanya.

Tahap tombong terkeluar:

  • Tahap satu:

* Tidak ada sebarang tanda berada di bahagian selaput dara tetapi boleh dikesan menerusi pemeriksaan. Rahim turun dari kedudukan asal tetapi masih berada di dalam lubang faraj

  • Tahap dua

* Individu dapat melihat sendiri bonjolan keluar dari lubang faraj dan boleh masukkan semula.

* Gambarannya, seperti sesuatu turun ke bawah atau berasa ngilu pada bahagian kelamin.

* Bonjolan terkeluar dari lubang faraj kadang mengganggu ketika mengadakan hubungan seksual

  • Tahap tiga

* Individu tidak boleh lagi menolak bonjolan yang terkeluar masuk balik ke dalam faraj sebelum dapat membuang air kecil atau air besar.

* Pada tahap ini, hanya pembedahan boleh membantu menyelesaikan masalah itu.

Senaman kegel kembalikan keanjalan otot

* Membantu membantu menguatkan otot pelvik menyelesaikan masalah kerap kencing, tidak dapat menahan kencing dan kemutan untuk seksual.

* Walaupun pembedahan sudah dijalankan, penderita masih boleh mengalami situasi peranakan sudah jatuh jika tidak mengamalkan senaman.

* Orang zaman dahulu mengamalkan urutan bersengkak.

* Kaedah ini dipercayai menaikkan peranakan jatuh selepas bersalin walaupun tiada bukti saintifik menyokong amalan itu.

* Kajian perubatan menyatakan, selepas bersalin rahim mengecut dan kembali ke kedudukan asal dalam tempoh enam minggu.

-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.