Bajet 2012 rangsang ekonomi

KAMPAR 24 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Bajet 2012 yang akan dibentangkan 7 Oktober ini mesti memberi keyakinan dalam merangsangkan kegiatan ekonomi dalaman dan mampu membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurut Perdana Menteri, dalam persekitaran ekonomi global yang lemah dan tidak menentu, negara perlu bersandar kepada permintaan dalaman.

”Jadi Bajet 2012 mesti merangsang pelaburan, mesti membawa kepada keyakinan pengguna untuk terus berbelanja secara berhemah supaya ekonomi dalaman terus berpaksi pada permintaan yang kukuh sama ada dari segi pelaburan atau permintaan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Karnival 1Malaysia Tanjung Tualang sempena program turun padang ke negeri ini di sini hari ini.

Najib berkata, selain itu, Bajet 2012 juga akan melihat pendekatan bagi membantu dan melindungi rakyat daripada kesan-kesan negatif kelembapan ekonomi walaupun penurunan itu bersifat global.

”Kita menyedari ancaman itu dan dalam soal kebajikan rakyat, perlu dicari pendekatan yang sewajarnya,” kata beliau.

Ditanya sama ada Bajet 2012 akan menyentuh mengenai bonus kakitangan awam, Najib berkata, apa-apa maklumat yang akan diumumkan dalam bajet tidak akan dibocorkan.

”Prinsip kita, kalau mampu, kita buat. Kalau kita tidak mampu, kita tidak buat,” katanya.

Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.