Hudud : Malaysia belum mampu

Penulis amat terkejut dengan kenyataan di dalam Facebook Menteri Besar Kelantan yang menyatakan orang bukan Muslim langsung tidak terlibat dengan hukuman hudud jika ianya dilaksanakan sebaliknya orang bukan Muslim diberikan pilihan samada hendak menjalani hukuman hudud ataupun memilih hukuman sivil sahaja. Penulis menyifatkan tindakan memberikan penjenayah membuat pilihan berkenaan sama seperti memberikan pilihan kepada budak nakal yang telah melakukan kesalahan samada hendak menerima hukuman jentik di lutut atau pun penampar di muka. Mustahil seseorang itu akan memilih hukuman yang lebih berat.

Mereka menyatakan bahawa orang bukan Muslim tidak boleh dipaksa menjalani hudud kerana tiada paksaan di dalam Islam, sama seperti rukun Islam yang lain di mana hanya orang Islam yang wajib menunaikannya. Ayat “Tiada paksaan di dalam agama” di dalam surah al-Baqarah telah digunakan untuk menguatkan hujah mereka. Memang benar untuk perkara-perkara akidah dan ibadah, orang bukan Muslim tidak tertakluk dengan perintah Allah namun tidak di dalam soal kenegaraan kerana pemerintah Muslim mempunyai hak ke atas kafir zimmi yang telah memberikan taat setia mereka untuk bernaung di bawah pemerintahan orang Muslim. Sebagai contoh, pembayaran jizyah adalah hukum daripada Allah dan Rasul yang dikenakan kepada orang bukan Muslim. Jika orang bukan Muslim tidak perlu patuh dengan perintah Allah, mengapa mereka perlu membayar jizyah?

Para ulama tidak pernah berselisih pendapat mengenai hudud ke atas bukan Muslim. Kesemua mereka bersetuju bahawa orang bukan Muslim juga dikenakan hudud sekiranya melakukan jenayah. Di zaman Nabi terdapat kisah seorang wanita Yahudi yang dihukum rejam kerana mengaku telah berzina.

Hukuman yang berbeza untuk satu kesalahan jenayah yang sama pastinya akan menimbulkan ketidakstabilan di dalam sesebuah negara. Bayangkan jika orang bukan Muslim dibenarkan membuat hukuman sendiri untuk kesalahan mencuri dan hanya menetapkan denda RM50 untuk kesemua jenayah kecurian, sebaliknya orang Muslim dikenakan hukuman potong tangan. Tidakkah ianya akan meningkatkan statistik penjenayah di kalangan bukan Muslim? Lebih dibimbangi adalah soal akidah. Bayangkan jika seseorang yang dicekup oleh penguatkuasa agama negeri untuk kesalahan-kesalahan seperti berjudi, berkhalwat dan tidak berpuasa di bulan Ramadhan pun ada yang sanggup mengaku bahawa mereka adalah bukan Muslim semata-mata untuk melepaskan diri daripada hukuman denda yang dikira jauh lebih ringan daripada hudud.

Kerajaan pusat secara jelas menyatakan bahawa Malaysia tidak mampu melaksanakan hudud.

Adilkah jika kita hendak menyebat peminum arak namun dalam masa yang sama, arak masih dibenarkan untuk dijual secara terbuka? Kilang arak juga masih tegak berdiri dan cukainya masih sedap dilahap.

Adilkah jika kita hendak menyebat atau merejam penzina sedangkan tempat-tempat maksiat seperti kelab malam dan rumah urut yang bersepah-sepah dibiarkan untuk terus beroperasi? Laman-laman pornografi dan penjualan vcd lucah juga amat mudah didapati. Urusan perkahwinan untuk anak muda juga kelihatan amat sukar di mana mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM40,000 untuk memastikan majlis kenduri untuk kedua-dua belah pihak berjalan lancar. Syarat untuk berpoligami juga amat sukar sehingga ada berita ahli Parlimen yang dijatuhkan hukuman penjara hanya kerana tidak mematuhi syarat-syarat berpoligami yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Adilkah jika kita hendak memotong tangan pencuri sedangkan ekonomi negara masih belum pulih? Graduan yang baru tamat pelajaran kelihatan amat sukar untuk mendapat peluang pekerjaan apatah lagi untuk mereka yang hanya mempunyai kelulusan SPM sahaja. Gaji RM3,000 jika hidup di bandar dengan tanggungan yang ramai boleh dianggap sebagai miskin.

Pada pendapat penulis, hudud sama seperti Rukun Islam. Semua orang Muslim yang beriman wajib menunaikannya. Namun jika seseorang itu tidak mampu menunaikan puasa, zakat dan haji kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh orang itu telah kafir.

Malah dalam ibadat solat, jika tidak mampu berdiri, kita dibenarkan duduk. Jika tidak mampu duduk dibenarkan berbaring.

Di Malaysia walaupun tiada hukuman hudud, namun orang yang melakukan jenayah zina, minum arak, curi, rompak, rogol dan bunuh tidak dilepaskan begitu sahaja. Mereka tetap akan dikenakan hukuman takzir oleh pihak berkuasa. Syarat-syarat hudud yang amat ketat seperti memerlukan beberapa orang saksi yang tidak fasiq yang melihat kejadian berkenaan juga akan menyebabkan mereka terlepas daripada hudud, namun tidak untuk hukuman takzir.

Hukuman takzir bergantung kepada pemerintah, ianya boleh jadi lebih berat atau lebih ringan daripada hudud. Contohnya hukuman sebat untuk peminum arak di dalam hudud hanya 40 kali namun Saidina Umar telah menjatuhkan takzir kepada peminum arak sebanyak 80 kali sebatan (40 hudud + 40 takzir).

Penulis gemar menggunakan analogi haji untuk menceritakan soal kemampuan. Wajarkah soalan-soalan seperti ini ditanya kepada semua Muslim yang belum menunaikan haji?

Salam. Tuan dah pergi haji ke belum?
-Kalau belum, kenapa Tuan tak pergi tahun ni?
-Bukankah pendapatan Tuan dengan gaji RM2,000 sebulan jika dikumpulkan selama setahun dah cukup untuk tambang pergi haji?
-Yuran pengajian di universiti berpuluh ribu, tapi tunaikan haji tak mampu?
-Harga kereta berpuluh ribu mampu beli, tapi tunaikan haji tak mampu?
-Belanja perkahwinan berpuluh ribu, tapi tunaikan haji tak mampu?
-Harga rumah beratus ribu mampu beli, tapi tunaikan haji tak mampu?
-Kenapa tak jadikan haji sebagai keutamaan? Bukankah salah satu daripada Rukun Islam?
-Tuan tak nak tunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim ke?
-Hendak, seribu daya, tak nak seribu dalih. Apa Tuan nak jawab di depan Allah nanti?

Jika seseorang itu telah menyatakan tidak atau belum mampu, perlukah kita menghujaninya dengan berbagai-bagai soalan agar dia dilihat seolah-olah tidak mahu melaksanakan perintah Allah? Bukankah di dalam Islam, kita disuruh berprasangka baik?

Ingatlah, buah yang enak jika belum benar-benar masak, pasti akan berasa kelat, pahit dan masam jika kita tidak sabar untuk menikmatinya. Begitu juga hudud, hukum daripada Allah yang sudah tentulah sangat indah dan sempurna namun jika belum bersedia pastinya akan tedapat banyak cacat cela yang akan membawa mudarat yang lebih besar.

Sesungguhnya Allah tidak akan memberati seseorang melainkan apa yang termampu ditanggungnya.
Sumber- malamyangpanjang.blogspot

4 thoughts on “Hudud : Malaysia belum mampu

  • 25/10/2011 at 6:41 pm
    Permalink

    “Penulis amat terkejut dengan kenyataan di dalam Facebook Menteri Besar Kelantan yang menyatakan orang bukan Muslim langsung tidak terlibat dengan hukuman hudud jika ianya dilaksanakan sebaliknya orang bukan Muslim diberikan pilihan samada hendak menjalani hukuman hudud ataupun memilih hukuman sivil sahaja. Penulis menyifatkan tindakan memberikan penjenayah membuat pilihan berkenaan sama seperti memberikan pilihan kepada budak nakal yang telah melakukan kesalahan samada hendak menerima hukuman jentik di lutut atau pun penampar di muka. Mustahil seseorang itu akan memilih hukuman yang lebih berat.”

    Apabuila saudara terkejut bermakna saudara perlu mendalami ilmu tentang hudud. Saya cadang eloklah saudara ikuti kuliah atau kursus mengenai secara frmal dan jangan berguru dengan suratkhabar atau TV atau dengar kabar sana sini. Saya percaya MB Kelantan yang dua ijazah sarjana itu tahu apa yang dia cakap. Salah satu iajzahnya ialah syariah atau undang2 Islam.

    Dalam bab hudud ini kita kena faham, bahawa hudud bukan ciptaan PAS atau UMNO atau manusia. Tetapi ia adalah ciptaan Allah. Oleh itu kita berharus 2 menulis di sana sini dalam keadaan kita jahil kerana ia boleh merosakkan aqidah kita dan aqidah orang lain yang membacanya. kalau 100 orang baca dan menerima apa yang anda tulis sedangkan apa yang anda tulis itu adalah salah, maka anda akan menanggung dosa 100 orang. Kalau 1000 orang?

    Dalam bab agama, bila kita tahu, kita belajar dan berguru. Saya boleh dihubungi di alamat email saya. Semoga Allah pulihara iman kita dari menjadi murtad atau kafir atau munafik.

    Reply
  • 26/10/2011 at 8:01 am
    Permalink

    Salam Tuan Albangi.

    Janganlah hanya kerana Nik Aziz mempunyai kelulusan dalam Perundangan Islam (yang sehingga kini masih diragui kesahihannya), Tuan terus bertaklid buta dan terus bersetuju dengan apa yang keluar dari mulut beliau. Kesemua imam besar untuk mazhab ahli sunnah waljamaah melarang pengikutnya daripada bertaklid buta. Malahan kesemua mereka menyuruh pengikutnya meninggalkan pendapatnya jika terdapat pendapat yang lebih sahih.

    Sudah terlalu lama PAS membohongi rakyat Malaysia dengan menyatakan bahawa hudud hanyalah untuk orang Muslim sahaja.

    Buta mata, buka hati dan buka minda sebelum Tuan membuka link-link di bawah ini.

    HUKUM ISLAM DIWAJIBKAN KE ATAS SELURUH UMAT MANUSIA – http://www.mykhilafah.com/sautun_nahdhah/SN156_Hukum_Islam.pdf

    ASRI0508S30 : S13. Hudud atas non-Muslim dlm negara Islam? – http://www.youtube.com/watch?v=eVGWWBS47go

    Ustaz Azhar Idrus – Hudud Bagi Bukan Islam – http://www.youtube.com/watch?v=ZmGi77cf7IU

    Paling menarik ialah pendapat Azhar Idrus (ustaz idola PAS) yang bersetuju bahawa orang bukan Muslim juga boleh dipotong tangan sekiranya hakim memutuskannya. “Semua kena, tetapi orang kafir terpulang kepada mahkamah.”

    Reply
  • 26/10/2011 at 6:08 pm
    Permalink

    Hudud tu mainan politik Pas saja utk kaut undi simpati orang Islam.

    Sekejap Pas kata Hudud hanya utk orang Islam saja, sekejap pas kata orang Bukan Islam pun akan dikenakan Hudud.

    mana satu hang nak ambik Albangi?

    “when the time comes, the hudud and qisas law will be extended to all non-Muslims.” – Hadi Awang / Debate Shariah Criminal Offences (hudud and qisas) / 07 Julai 2002

    Reply
  • 27/10/2011 at 6:08 pm
    Permalink

    macam mana nk jalani sistem hudud kalu isu murtad pn pas buat x tau je hikhikhikhik….

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.