IOI unjur harga MSM lepasi RM3,000 setan

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka meningkat melebihi RM3,000 setan dalam tempoh tiga bulan akan datang berikutan jumlah pengeluaran yang berkurangan ketika permintaan dari luar negara meningkat, kata seorang penggiat industri.

Pengerusi IOI Corp Bhd., Tan Sri Lee Shin Cheng berkata, musim hujan serta kekurangan pekerja dijangka menjejaskan pengeluaran tandan buah segar dalam tempoh enam bulan akan datang, meskipun permintaan tinggi dari China, India dan Pakistan.

“Mulai sekarang, harga perlu naik, sudah sampai masanya untuk meningkat melebihi RM3,000,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

Pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2011, pendapatan perladangan IOI melonjak 33 peratus kepada RM1,497.8 bilion, hasil daripada harga MSM dan isi rong yang lebih tinggi.

Sepanjang tempoh itu, purata harga jualan MSM dan isi rong sawit masing-masing sebanyak RM2,945 setan dan RM2,241 setan.

Sementara itu, Sin Cheng berkata, bahagian hartanah IOI dijangka menyumbang kukuh kepada perolehan syarikat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Beliau berkata, meskipun pasaran hartanah dunia tidak menentu, pelaburan syarikat di Singapura dijangkakan pulang modal pada 2013.

“Walaupun berlaku ketidaktentuan dalam pasaran dunia, harga tidak susut, hanya permintaan agak perlahan,” katanya yang menambah, republik itu baru-baru ini menarik pembeli dari tanah besar China.

Beliau berkata, perkembangan lain yang dirancang ialah kompleks membeli-belah di sebelah IOI Resort Putrajaya, yang dijangkakan siap pada akhir 2013.

Pembangunan berharga kira-kira RM1.5 bilion itu meliputi padang golf, dua blok pejabat dan hotel yang akan menyediakan pendapatan berulang untuk syarikat itu, katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.