Krisis identiti belia: Ahmad Shabery jawab pendedahan Ikatan Muslimin Malaysia

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Kementerian Belia dan Sukan akan meneliti dakwaan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) bahawa lebih enam juta belia di negara ini menghadapi krisis kecelaruan identiti.

Sambil menolak kemungkinan program dilaksanakan kerajaan selama ini kurang berjaya, Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan mengkaji semula takrifan ‘kecelaruan’ yang digunakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu.

“Untuk memahami maksud kecelaruan, satu penelitian yang holistik perlu dilakukan sebagai KPI (Petunjuk Prestasi Utama).

“Siapa pula yang tidak celaru identiti? Apakah mekanisme yang digunakan bagi mengukurnya? Adakah ia setakat melalui media alternatif seperti laman sosial Facebook dan Twitter,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd. Rahman semalam bahawa lebih enam juta belia di negara ini didakwa menghadapi krisis kecelaruan tersebut disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup Barat.

Beliau turut memberitahu, usaha memperkasakan belia turut terletak di tangan kementerian lain termasuk Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan.

“Kita perlu mengetahui baki lima juta yang dikatakan tidak celaru itu. Adakah kejayaan mereka itu atas usaha kerajaan atau sebagainya?

“Bagaimanapun, saya mengalu-alukan konvensyen seperti yang dilakukan Isma itu. Saya harap mereka akan menghuraikan takrifan tersebut dengan lebih terperinci bagi semua isu yang mereka kemukakan selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, kajian terperinci penting bagi membolehkan tindakan sewajar diambil membendung masalah tersebut.

”Laporan tersebut terlalu umum. Jika dilihat kepada angka enam juta juga terlalu besar, malah akan menjadi liabiliti kepada negara.

”Jadi perlu perincian tentang aspek mana yang mereka kaji sama ada celaru jantina, orientasi seks, moral atau kesihatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, beliau bersetuju masalah tersebut perlu ditangani secara serius kerana ia boleh mendorong belia ke arah pemikiran liberal.

”Laporan tersebut juga dikhuatiri akan menjejaskan peluang kerja kerana majikan tidak berminat untuk menggaji belia yang menghadapi kecelaruan identiti,” katanya.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.